fbpx
PEMERIKSAAN gigi secara berkala dengan doktor setiap enam bulan dapat memastikan kebersihan mulut terjamin. – Gambar hiasan

K2

Jangan ambil mudah sakit gigi kerana berisiko membawa maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMAI antara kita memandang ringan kesihatan gigi. Namun, tahukah anda bahawa masalah yang dianggap kecil seperti sakit gigi atau bengkak gusi boleh membawa kepada komplikasi serius hingga mampu mengancam nyawa?

Jangkitan kuman pada gigi bukan sahaja boleh menyebabkan kesakitan, malah mampu merebak ke bahagian muka, otak, dan saluran pernafasan jika tidak dirawat.

Masalah ini bukan lagi sesuatu yang jarang berlaku dan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.

Dengan kesedaran yang betul, kita dapat melindungi diri dan keluarga daripada ancaman kesihatan ini.

Jangkitan kuman biasanya bermula daripada dua masalah utama iaitu karies gigi (gigi berlubang) dan penyakit gusi.

Karies gigi terjadi apabila lapisan enamel gigi rosak akibat asid yang dihasilkan oleh bakteria.

Jika tidak dirawat, kerosakan ini boleh mencecah pulpa gigi yang merupakan tisu lembut di tengah gigi seterusnya menyebabkan jangkitan.

Penyakit gusi pula bermula dengan keradangan gusi (‘gingivitis’) akibat plak bakteria yang terkumpul di celah-celah gigi dan gusi.

Jika tidak dikawal, ia boleh berkembang menjadi ‘periodontitis’, di mana bakteria menyusup ke tisu yang lebih dalam, sekali gus merosakkan struktur tisu di sekeliling gigi. Jangkitan yang bermula daripada gigi dan gusi boleh merebak ke bahagian lain.

Jika jangkitan bermula dari gigi atas, ia boleh merebak ke sinus sehingga menyebabkan keradangan sinus atau lebih teruk, ke bahagian otak.

Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Clinical and Experimental Dentistry pada tahun 2020 melaporkan bahawa jangkitan daripada gigi atau tisu sekeliling gigi merupakan salah satu penyebab nanah atau abses otak yang jarang berlaku tetapi berbahaya.

Bagi gigi bawah, jangkitan boleh merebak ke kawasan leher dan saluran pernafasan.

Dalam kes yang lebih serius, ia boleh menyebabkan ‘Ludwig’s angina’ iaitu satu keadaan yang mengancam nyawa, di mana saluran pernafasan akan tertutup akibat bengkak teruk.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Oral and Maxillofacial Surgery pada tahun 2019, ‘Ludwig’s angina’ memerlukan rawatan segera kerana risiko komplikasi maut.

Bagaimanapun, kajian daripada The American Journal of Emergency Medicine menyatakan bahawa kadar kematian akan menurun secara drastik daripada 50 peratus kepada 8 peratus jika pesakit mendapat rawatan mencukupi.

Rawatan bergantung kepada tahap jangkitan. Beberapa pendekatan rawatan yang biasa dilakukan termasuklah rawatan akar gigi, pengambilan antibiotik, pembedahan dan cabutan gigi.

Rawatan akar gigi adalah pilihan utama jika jangkitan telah mencapai pulpa gigi iaitu tisu lembut di tengah gigi yang mengandungi saraf dan salur darah.

Prosedur ini melibatkan pembersihan kawasan yang dijangkiti untuk membuang tisu yang rosak dan bakteria.

Selepas itu, saluran akar akan diisi dan ditutup dengan bahan tampalan untuk mencegah jangkitan semula.

Pengambilan antibiotik pula diperlukan apabila jangkitan telah merebak ke kawasan sekeliling atau ke bahagian tubuh lain.

Antibiotik bertindak untuk mengawal penyebaran bakteria dan mengurangkan keradangan.

Bagaimanapun, antibiotik bukanlah pengganti rawatan mekanikal seperti pembersihan akar gigi atau pembedahan.

Penting untuk mengambil antibiotik mengikut dos yang disarankan oleh doktor gigi bagi memastikan keberkesanannya.

Dalam kes abses atau nanah telah terbentuk, pembedahan mungkin diperlukan untuk mengeluarkan nanah dan membuang tisu dijangkiti kuman.

Prosedur ini membantu mengurangkan tekanan dan kesakitan serta mencegah penyebaran jangkitan ke kawasan lain.

Pembedahan juga mungkin melibatkan pemotongan kecil pada kawasan yang terjejas untuk membolehkan saliran nanah dilakukan.

Doktor gigi akan memastikan bahawa semua kawasan yang dijangkiti dibersihkan dengan teliti bagi mengelakkan komplikasi.

Jika gigi yang dijangkiti tidak dapat diselamatkan, cabutan gigi menjadi langkah terakhir untuk menghentikan penyebaran jangkitan.

Pesakit juga mungkin disarankan untuk mempertimbangkan rawatan penggantian gigi seperti implan atau jambatan untuk memastikan keseimbangan gigitan dan fungsi mulut.

Mencegah jangkitan kuman pada gigi adalah lebih mudah dan murah berbanding merawatnya.

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil adalah dengan menjaga kebersihan mulut dengan baik.

Memberus gigi dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida serta menggunakan flos dapat membantu membersihkan plak yang terkumpul di celah-celah gigi.

Selain itu, pemeriksaan berkala dengan doktor gigi setiap enam bulan amat disarankan untuk memastikan kebersihan dan kesihatan mulut sentiasa dalam keadaan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN