‘Tak boleh move on, rindunya nak kembali semula ke Tanah Suci,’ itu adalah beberapa luahan hati ramai jemaah umrah yang baru tiba di tanah air apabila rutin ibadah yang dilaksanakan di Mekah dan Madinah lebih seminggu mampu mengubah pemikiran, perangai dan disiplin diri masing-masing selepas itu.
Perjalanan dan pengalaman beribadat berserta ratusan gambar yang diambil di sana sentiasa dikongsi bersama dengan ahli keluarga, rakan sepejabat, kumpulan WhatsApp dan juga di media sosial masing-masing.
Itu belum bertemu lagi dengan rakan pejabat, jiran, rakan dan ahli keluarga yang sudah berpengalaman menunai umrah di Tanah Suci, semakin gamat penceritaan tersebut sehingga lupa pada mereka yang lain.
Secara tidak langsung, keasyikan dan keghairahan berkongsi cerita, pengalaman dan gambar ketika di Mekah dan Madinah sepanjang masa, telah membuatkan ada yang berkecil hati, merendah diri malah mahu menjauhkan diri daripada kumpulan yang sudah menunaikan umrah itu.
Tanpa kita sedari wujudnya fenomena tersebut dan memberi kesan mendalam kepada mereka yang belum berkesempatan dan belum dikurniakan rezeki lebih untuk menunaikan umrah.
Lebih menyedihkan apabila kumpulan yang belum menunaikan umrah ini agak dipencilkan dan dianggap ‘jahil’ kerana mereka didakwa mementingkan percutian ke selatan Thailand, Langkawi sehingga didakwa tidak ada usaha menabung untuk menempah pakej umrah.
Sememangnya pelbagai pakej umrah telah ditawarkan di pasaran bermula daripada konsep DIY, pakej umrah rahmah yang hanya sekadar RM4,999 hinggalah kepada pakej premium yang menelan belanja puluhan ribu ringgit.
Tidak semua mampu membayar nilai RM5,000 kerana ia bergantung kepada bajet, perbelanjaan dan pendapatan seseorang, apatah lagi jika dia memiliki komitmen bulanan yang tinggi, ahli keluarga yang besar atau membiayai perubatan ibu bapa dan pelbagai lagi.
Sebenarnya, mereka juga menyimpan niat yang besar untuk menunaikan umrah tetapi cabaran dan kekangan tersebut melambatkan inisiatif mereka untuk membuat tempahan pakej umrah.
Atas faktor tersebut juga, ada syarikat pengendali umrah telah mengambil kesempatan untuk memenuhi keperluan kumpulan berkenaan sehingga ada yang sanggup menipu mereka dengan tawaran pakej yang tidak masuk akal.
Secara tidak langsung, keghairahan dan terdesaknya kumpulan ini mahu menunaikan umrah pada harga pakej itu membuatkan mereka terperangkap dengan sindiket penipuan.
Akhirnya duit hilang, badan lesu menunggu jawapan selepas dibiarkan menunggu di lapangan terbang berjam lamanya sehingga niat beribadat lenyap ditelan api kemarahan serta dendam membara terhadap pemilik syarikat yang didakwa terlibat dengan penipuan tersebut.
Yang dikendong tak dapat, yang dijinjing juga terlepas di tangan, jadi dalam misi untuk menunaikan umrah janganlah dibuat terlalu tergesa-gesa, tertekan dengan persekitaran semasa dan juga bajet yang masih berkurangan.
Jika rezeki di panggil Allah menjadi tetamunya, pasti satu hari nanti akan tiba juga, jangan difikir tentang nasib tubuh badan, sihat dan sakit serta umur panjang kerana semua itu Allah yang aturkan terbaik untuk hamba-Nya.















