SATUN, Thailand – Kehadiran pelancong luar negara, terutamanya dari Malaysia ke Thailand, mencatatkan jumlah antara 250,000 hingga 400,000 dalam tempoh sebulan dari 20 Januari hingga 20 Februari ini.
Bercakap kepada Kosmo!, Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asia Tenggara (Tahta), Aida Oujeh berkata, jumlah tersebut disebabkan cuti sekolah dan sambutan Tahun Baharu Cina 2025.
“Kami melihat peningkatan ketara dalam kedatangan pelancong Malaysia yang memilih Thailand sebagai destinasi percutian mereka, terutama di lima wilayah selatan.
“Kawasan ini sumbang kira-kira 65 peratus atau lebih 200,000 pelancong daripada jumlah keseluruhan pelancong luar negara, menunjukkan daya tarikan yang tinggi bagi pelancong dari Malaysia,” katanya.

Katanya, di wilayah Songkhla sahaja, kadar tempahan penginapan telah mencecah antara 55 hingga 85 peratus daripada 30,000 bilik penginapan, manakala pada hujung minggu, kadar itu melonjak kepada 80 hingga 90 peratus.
Kata Aida, antara lokasi yang mendapat sambutan ialah Baan Thon di Narathiwat, Aiyeweng di Betong, pasar malam Pattani serta kawasan bersejarah yang popular dalam kalangan pelancong.
“Hatyai pula kekal sebagai tumpuan utama dengan restoran, pasar malam, Central Festival dan pasar terapung yang penuh dengan pelancong sepanjang tempoh ini.
“Di Satun, tempat seperti Kampung China, Pak Bara, Tanjong Po dan Dusun Night Market turut menjadi tarikan utama kepada pelancong Malaysia,” ujarnya.
Aida berkata, faktor cuaca yang baik di selatan Thailand juga memainkan peranan dalam peningkatan jumlah pelancong.
“Lima wilayah ini tiada hujan lebat dan suhunya tidak panas, berbanding Bangkok,” ujarnya.














