KOTA BHARU – Harga emas yang melonjak naik sepanjang cuti persekolahan menyebabkan kedai-kedai emas di sekitar bandar Kota Bharu di sini terpaksa mengehadkan pembelian emas terpakai daripada pelanggan kepada RM20,000 sehari.
Peniaga emas mendakwa, langkah itu bagi mengelakkan mereka menanggung kerugian untuk menjual semula kepada pembekal apabila harga emas kembali turun.
Tauke emas, Siti Saleha Setapa, 22, berkata, dia mengambil sedikit emas terpakai kerana kebanyakan pelanggan terdesak membeli barangan sekolah.
Menurutnya, dia juga menjual emas terpakai pada musim persekolahan kerana harganya meningkat berbanding dengan hari biasa.
“Harga semasa emas baharu meningkat sehingga RM5 untuk satu gram.
“Harga emas ketika ini RM372 untuk segram berbanding sebelum ini RM367. Bagi emas terpakai pula, kami mengambil pada harga RM349 segram,” katanya.
Siti Saleha memberitahu, ramai yang datang menjual emas terpakai di premisnya memberi alasan untuk membeli kelengkapan anak sekolah.
Menurutnya, sebagai langkah untuk membantu, dia hanya mengehadkan aliran tunai belian emas terpakai sebanyak RM20,000 sehari bagi membeli emas terpakai.
“Kami tidak boleh menerima banyak emas terpakai dalam sehari. Ia akan menyukarkan peniaga untuk menjual semula barangan kemas itu, lebih-lebih lagi semasa harga emas mahal.
“Apabila harga emas turun, peniaga pula akan mengalami kerugian apabila sudah membeli barangan kemas itu semasa ia mahal,” ujarnya.
Siti Saleha berkata, dia selalunya memberi cadangan kepada pelanggan agar membeli emas baharu selepas menjual emas terpakai di premisnya.
Menurutnya, transaksi jualan itu sentiasa akan diterima di premisnya kerana ia merupakan situasi menang-menang apabila peniaga dan pembeli memperoleh keuntungan tersendiri.
“Ada pelanggan yang hendak menukar dari corak lama kepada yang baharu. Ditambah pula Hari Raya Aidilfitri akan tiba tidak lama lagi. Jadi, emas corak baharu sudah pasti akan menjadi tumpuan pelanggan,” katanya.
Seorang peniaga emas di Tumpat, Zarina Hassan, 50, berkata, walaupun emas naik, dia jarang membeli barang kemas terpakai kecuali pelanggan mahu menukar emas mereka kepada yang baharu.
Bagaimanapun katanya, dia tetap membeli emas terpakai, namun dalam jumlah yang sedikit sahaja.
“Saya memperuntukkan aliran tunai sebanyak kurang daripada RM10,000 sehari untuk membeli emas terpakai pelanggan. Kebiasaannya, saya tidak mahu membeli emas terpakai milik pelanggan lebih-lebih lagi semasa harga sedang meningkat ketika ini.
“Jika ada alasan munasabah atau pelanggan benar-benar perlukan wang, saya akan terima untuk membeli emas terpakai mereka.
“Saya juga kasihan dengan sesetengah pelanggan apabila ada antara mereka yang merayu agar membeli emas terpakai. Ada yang memberi pelbagai alasan tetapi jika kata untuk beli kelengkapan sekolah, saya boleh terima,” ujarnya.














