SHAH ALAM – Kaum Cina yang menyambut Tahun Baharu Cina esok mengambil kesempatan balik kampung disamping mengunjungi sanak saudara yang jarang bertemu disebabkan kesibukan masing-masing.
Mereka masih mengamalkan amalan balik kampung dan menolak amalan moden yang bercuti ke luar negara setiap kali Tahun Baharu Cina.
Sambutan Tahun Baru Cina digunakan sebilangan masyarakat Tiong Hua untuk bercuti sambil mengunjungi sanak saudara di kampung masing-masing.
Bagi Lim Shan Shien, 25, dia bersama keluarga mengambil peluang bercuti di destinasi sekitar Johor dan Perak.
Katanya, peluang tersebut digunakan bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sempena perayaan berkenaan.
“Lagipun, tahun ini pun zodiaknya ular yang melambangkan kebijaksanaan, kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah.
“Jadi, kami sekeluarga gunakan masa yang ada masa perayaan untuk mempunyai waktu bersama yang berkualiti dengan pelbagai aktiviti masa cuti dan bukan dipenuhi gajet,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kata Shan Shien, peluang bercuti di dalam Malaysia juga memberikan kesempatan untuk meneruskan makan besar pada malam sambutan Tahun Baharu Cina di rumah keluarga sebelah ibu di Johor Bahru.
Sementara, pereka bentuk, Peifang Tan, 31, mengambil pendekatan ‘bercuti’ awal di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam yang dianggap acara wajib pada setiap perayaan Tahun Baru Cina.
“Kelmarin pun kami bersama penduduk kampung rai sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Ini adalah perjumpaan yang jarang berlaku dan sesuatu yang tidak mahu lepaskan setiap tahun.
“Tahun ular bukan hanya tentang kebijaksanaan tetapi mengingatkan kita mencari keseimbangan. Lagipun suasana beraya di kampung sangat ‘mahal’ memorinya. Jadi saya anggap bercuti di kampung adalah lebih sempurna pada perayaan,” katanya.















