KEBELAKANGAN ini, rakyat Malaysia terus dibelenggu oleh isu kenaikan harga barang.
Dari bahan makanan asas seperti beras, gula dan minyak masak, hingga ke perkhidmatan harian semuanya menunjukkan lonjakan harga.
Fenomena ini bukan sahaja menekan golongan berpendapatan rendah, malah turut memberi kesan kepada kelas pertengahan, apatah lagi golongan bawahan.
Persoalannya, apakah punca sebenar di sebalik kenaikan harga yang dilihat seolah-olah tiada noktah ini?
Bayangkan harga sekilo santan segar saja sudah mencecah RM20, bagaimana para peniaga nasi lemak mahu teruskan survival mereka? Berapa pula harga yang mahu dijual bagi membolehkan mereka meraih untung?
Baru-baru ini ketika bersarapan di sebuah kedai dengan menikmati satu hidangan nasi lemak berlauk ayam, dua nasi lemak biasa dan satu dibungkus, kesemuanya berharga RM31.50.
Apa yang pasti, dalam isu kenaikan harga ini, ada pihak yang menyalahkan puncanya disebabkan keadaan ekonomi global, perang geopolitik dan inflasi yang melanda dunia.
Namun, tidak kurang juga yang menuding jari kepada kelemahan mekanisme kawalan harga, monopoli oleh segelintir pihak dan budaya pemborosan dalam kalangan pengguna itu sendiri.
Sebagai rakyat, kita tidak boleh hanya menanti pihak berkuasa bertindak. Langkah proaktif perlu diambil oleh setiap individu untuk menangani cabaran ini.
Antaranya, amalan berbelanja secara berhemah perlu dijadikan budaya. Utamakan keperluan berbanding kehendak dan bijak membuat perbandingan harga sebelum membeli.
Pengguna juga harus memberi sokongan kepada produk tempatan yang lebih murah dan berkualiti.
Di sinilah, kata-kata hikmah daripada Imam Al-Ghazali perlu dihayati: “Jika kamu bukan anak raja dan bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis.”
Kata-kata ini mengingatkan kita bahawa ilmu adalah kunci untuk membuat keputusan bijak. Sebagai pengguna, carilah ilmu tentang pengurusan kewangan dan cara mengurus perbelanjaan dengan berhemah.
Di peringkat nasional pula, kerajaan perlu memperkasakan undang-undang kawalan harga dan memastikan penguatkuasaan dilakukan secara telus.
Monopoli dan penindasan oleh pembekal besar mesti dihentikan. Pada masa yang sama, insentif perlu diberikan kepada petani dan pengusaha kecil bagi meningkatkan pengeluaran hasil tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import.
Selain itu, sebagai umat Islam, kita harus mengambil pengajaran daripada kata-kata Sayyidina Ali yang bermaksud: “Kefakiran hampir-hampir membawa kepada kekufuran.”
Dalam menangani isu kenaikan harga barang, sikap kerjasama antara kerajaan, peniaga dan pengguna amat penting.
Seperti mana nukil Imam As-Syafie: “Orang yang paling kaya adalah orang yang menerima qada’ Allah dengan hati yang tenang.”
Marilah kita jadikan sikap bersyukur dan bersederhana ini sebagai pegangan dalam mendepani cabaran hidup.
Ya, masalah memang sentiasa datang dan pergi. Maka, kuatkan iman dalam diri dan pergantungan pada Ilahi.














