KAMAL (bukan nama sebenar) tidak begitu teruja untuk menghadiri perjumpaan semula (reunion) sekolah menengah setelah 20 tahun tidak bersua dengan rakan-rakannya.
Lelaki berusia 37 tahun itu berkelana ke Australia untuk menyambung pengajian dan seterusnya bermastautin di negara tersebut.
Bagaimanapun, dia tetap hadir dengan hati yang berat memandangkan rakan karibnya, Hamidin telah bersusah payah menganjurkan majlis tersebut.
Majlis yang diadakan di dewan sebuah sekolah di Negeri Sembilan itu berlangsung pada sebelah malam setelah semua aktiviti pelajar berakhir.
Ketika dalam keramaian itu, Kamal ternampak susuk wanita yang pernah menjadi kekasihnya sewaktu zaman sekolah dahulu iaitu Sofia.
Kongsi Kamal, hatinya berdegup kencang ketika melihat rupa sofia masih awet muda sama seperti sewaktu mereka masih menjadi pasangan kekasih kira-kira dua dekad lalu.
“Sofia duduk berseorangan di meja paling belakang, mukanya merenung tajam kepada saya sambil tersenyum.
“Tanpa berfikir, hati saya tergerak untuk bertemu dengannya. Tiba-tiba, dia bangun dan keluar dari dewan.
“Saya fikir mungkin dia enggan berbual kerana dipandang oleh rakan-rakan lain memandangkan kami pernah bercinta,” katanya kepada CitaRasa.
Namun semakin laju Kamal melangkah, semakin deras rentak Sofia yang tampak anggun memakai jubah dan selendang Arab berwarna putih.
Sepanjang mengejar Sofia, lelaki yang kini bertugas sebagai pakar pediatrik itu terhidu wangian bunga sehingga menusuk hidung.
Apabila mereka berada jauh dari pandangan ramai, Kamal menjerit nama Sofia, sebelum langkah wanita itu berhenti. Kamal berjalan ke arah Sofia, sebelum wanita kacukan Cina-Melayu itu menunduk ke bawah tanpa mengeluarkan sebarang suara.
Tiba-tiba, Kamal ternampak air mata bekas kekasihnya itu jatuh ke lantai dan bunyi esakan tangisan mula kedengaran.
Kata Kamal, dia kaku melihat keadaan wanita tersebut kerana tidak tahu apa reaksi yang perlu diberikan ketika itu.
“Saya tak pasti apa patut saya lakukan kerana tidak tahu statusnya (Sofia) sekarang sama ada sudah berkahwin atau masih bujang. Saya juga hairan sebab dia menangis, sedangkan dia yang berhenti berkomunikasi dengan saya dahulu,” katanya.
Kamal tersentak apabila tangisan tadi tiba-tiba berubah menjadi ketawa kecil seakan-akan Sofia sedang mempermainkannya.
Bosan dengan permainan keanak-anakan, Kamal bertindak mendongak dagu Sofia dengan tangannya untuk melihat wajah wanita itu.
Alangkah terkejut Kamal apabila melihat wajah Sofia penuh dengan darah yang mengalir dari bahagian atas kepala.
Akibat terlalu terkejut, Kamal pengsan dan hanya sedar apabila Hamidin bersama rakan-rakan lain merenjis air kepadanya.
Kata Kamal, rakan-rakannya terkejut apabila dia bercerita tentang pengalamannya bertemu Sofia di situ.
“Saya hairan, apabila saya menyebut tentang Sofia, semua melihat saya seperti bertemu hantu. Saya terkejut besar apabila diberitahu bahawa Sofia telah meninggal dunia akibat kemalangan kereta 17 tahun lalu.
“Sehingga hari ini, saya tak pasti perlu berasa sedih atau seram apabila mengingati cinta pertama saya itu,” katanya sebelum menutup bicara.















