INSIDEN empat penonton konsert Pinkfish Countdown 2024 maut tempoh hari bagai mengulang tragedi hitam sebuah persembahan mega di Bukit Jalil 10 tahun lalu.
Bezanya ketika itu seramai lima penonton meninggal dunia dengan empat mangsa lain kritikal. Penyalahgunaan dadah dikenal pasti sebagai punca utama.
Kedua-dua kejadian tragis tersebut memberi impak ‘gelap’ terhadap penganjuran persembahan pentas mega negara ini terutama di kawasan Lembah Klang.
Ketika industri hiburan tempatan kembali bernafas usai fasa pandemik Covid-19, insiden tersebut mencetuskan perasaan skeptikal terhadap penganjuran acara live dan seumpamanya.
Bahkan, langkah tegas Polis Diraja Malaysia menangguhkan sementara semua permit penganjuran konsert di Selangor memberi kesan kepada promoter serta penganjur.
Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Hakikatnya pelakuan segelintir individu mengakibatkan banyak pihak terjejas terutama penggiat industri muzik lokal selain pekerja kehilangan sumber pendapatan.
Tidak seharusnya menuding jari kepada penganjur atau menyalahkan tahap keselamatan kerana tiada sebarang masalah berlaku dalam setiap konsert sejak tiga tahun kebelakangan ini terutama kes penyalahgunaan dadah kecuali pada Julai 2023.
Itupun melibatkan persembahan artis luar negara, The 1975 di Good Vibes Festival di Sepang yang dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy beraksi biadab di pentas.
Bagi pengasas Icon Entertainment, Iman Tang yang berpengalaman mengelolakan konsert skala besar, insiden di festival seumpama Pinkfish Festival boleh dielakkan jika penonton tidak lupa diri.
Katanya, tidak semestinya muzik EDM hanya boleh dinikmati dengan mengambil barangan terlarang kerana dorongan berkemungkinan berpunca daripada pihak lain.
“Jika kita lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak konsert sudah berlangsung di sini termasuk penghibur antarabangsa dengan genre masing-masing tanpa ada pun masalah seperti ini (dadah).
“Penganjur bersama festival tersebut pun saya kenal dan tahu pihak terbabit sudah melakukan langkah perlu untuk mengelakkan hal tidak diingini berlalu. Macam saya, kami akan ikut garis panduan, begitu juga penyanyi yang kita bawa.
“Harapnya penonton juga lebih peka dan jangan mudah diperdaya. Selagi namanya muzik, kita boleh enjoy tanpa memerlukan bahan asing lain,” katanya.
Apapun yang berlaku kita perlu ambil ikhtibar. Penganjur mengawal ketat pintu masuk, tetapi akhirnya keputusan di tangan penonton sendiri. -KOSMO! ONLINE














