fbpx
KEADAAN banglo milik Mohd. Yazid yang semakin terhakis akibat fenomena air pasang di Kampung Tanjung, Batu Rakit di Kuala Nerus baru-baru ini.

Nyawa banglo cinta masih panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Cuaca yang semakin baik dan ombak mula mereda sejak semalam memberi harapan baharu buat Mohd. Yazid Idris, 66, untuk menyelamatkan banglo kesayangannya yang sebelum ini terjejas teruk akibat ha­kisan pantai di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini.

Dia berkata, hatinya sedikit tenteram banglo yang dibina sebagai tanda cinta terhadap arwah isterinya terus teguh berdiri walaupun teruk dihem­pas badai ombak besar sejak bulan November tahun lalu.

“Alhamdulillah fenomena ombak besar semakin mereda dan saya terus berdoa agar impak Monsun Timur Laut (MTL) segera berakhir.

“Saya tidak sabar untuk me­lakukan kerja-kerja pembaikan sebelum dapat menduduki se­mula kediaman ini tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di banglonya di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini semalam.

Mohd. Yazid berkata, buat masa ini, benteng pemecah ombak diperbuat daripada batu-batu besar sedang dibina di persekitaran banglonya.

Dia berkata, kos pembinaan benteng pemecah ombak tersebut kebanyakannya dibiayai ha­sil sumbangan orang ramai yang bersimpati.

“Saya terharu dengan keikhlasan ramai orang membantu tanpa mengharapkan balasan.

“Budi baik mereka yang keba­nyakannya saya tidak kenal akan dikenang hingga ke akhir hayat,” katanya.

Mohd. Yazid bercadang untuk mendapatkan pandangan pakar berhubung aspek kejuruteraan pembinaan bagi menyelamatkan banglo kesayangannya daripada terus menjadi ancaman hakisan selepas musim tengkujuh berakhir kelak.

Katanya, dia akan sedaya upaya mempertahankan banglo yang memiliki banyak nostalgia buatnya dan keluarga tersebut.

Kosmo! pada 11 Januari lalu melaporkan, Mohd. Yazid dengan bantuan anak perempuan dan menantunya membanting tulang membina benteng daripada guni pasir bagi menyelamatkan ­banglo mereka yang sedang diancam hakisan pantai kronik.

Banglo dibina dengan wang persaraan RM600,000 pada 2018 itu amat bererti buat Mohd. Yazid kerana ia dibina sebagai tanda cinta terhadap arwah isterinya, Siti Rashidah Mohd. Yunus yang meninggal dunia akibat kanser usus enam tahun lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN