BERA – Seorang warga emas bersyukur tidak terkata apabila dilepaskan oleh dua penjenayah bertopeng yang memecah masuk rumahnya walaupun dia trauma sehingga ke hari ini apabila lehernya diacukan parang dan tangannya diikat dengan wayar.
Kejadian pada pukul 1.30 tengah hari 3 Januari lalu di Kampung Batu Bor di sini itu berlaku ketika Che Wan Norizan Che Wan Othman, 66, bersendirian kerana suaminya, Abdul Jamal Lebar, 66, pergi ke masjid untuk solat Jumaat.
Katanya, kejadian mencemaskan itu membuatkannya rasa seperti mati hidup semula.
“Saya rayu, jangan bunuh makcik, jangan bunuh ketika mereka mengacukan parang di leher dan mengikat tangan saya dengan wayar. Ketika itu saya takut dan terketar-ketar.
“Sebelum kejadian, saya dalam bilik air dan terdengar bunyi bising di belakang rumah. Saya sangka kera sebelum tiba-tiba pintu ditendang oleh dua lelaki bertopeng putih dan berparang,” katanya ketika ditemui.
Menurut Che Wan Norizan, penjenayah yang masuk selepas mengumpil pintu dapur itu kemudian mengarahkannya supaya diam dan duduk di atas kerusi sebelum tangannya diikat.
Tambahnya, dia tidak berhenti mengucap kerana takut dan menunjukkan lokasi barang kemas, duit, telefon bimbit, dompet dan kunci kereta disimpan.
“Penjenayah kemudian melarikan diri ke arah ladang sawit lima minit kemudian. Dalam keadaan terikat, saya kemudian mengesot untuk membuka pintu untuk menunggu suami pulang,” katanya.
Sementara itu, Abdul Jamal berkata, dia terkejut apabila melihat isterinya terikat di kerusi sebaik pulang dari masjid.
“Saya panjat pagar dan dapatkan isteri sebelum dimaklumkan rumah dirompak. Saya kemudian meminta tolong daripada bilal dan ketua kampung,” katanya.
Menurut Abdul Jamal, isterinya tidak dapat melupakan kejadian itu dan trauma hingga kini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bera, Suprintendan Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya sedang giat mengesan dua suspek tersebut dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.














