KUALA NERUS – Seorang pengusaha kedai makan dan produk hasil laut hanya mampu melihat premis perniagaan yang dibukanya sejak 20 tahun lalu di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, musnah dihentam ombak besar setinggi tiga meter kelmarin.
Manan Ali, 70, berkata, kedai makan dan jualan produk hasil laut itu roboh sepenuhnya disebabkan fenomena air pasang besar yang berlaku di pantai tersebut pada pukul 9.30 malam.
“Pada mulanya, sebahagian kecil struktur kedai saya terjejas akibat fenomena air pasang besar pada 29 November lalu.
“Ombak besar datang lagi pada 28 Disember lalu sebelum keseluruhan premis perniagaan itu musnah pada malam semalam (kelmarin),” katanya di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini semalam.
Manan berkata, kedai makan tersebut amat bererti buatnya yang menjadi tempat dia mencari rezeki buat anak-anak dan isteri sejak lebih 20 tahun lalu.
Bapa kepada dua anak itu berkata, hasil berniaga tersebut juga membolehkan dia membina rumah dan menunaikan ibadah haji pada tahun 2017.
“Kini semuanya tinggal kenangan. Sewaktu dibina, jaraknya dengan pesisir pantai lebih 300 meter,” katanya.
Pemilik Chalet Bira Pata, Abdul Wahab Othman, 65, pula bergegas dari Kuala Lumpur apabila dimaklumkan dua bilik chaletnya turut musnah akibat fenomena air pasang besar.
“Buat masa ini enam bilik chalet saya masih selamat. Tidak sangka berhadapan dengan hakisan pantai seteruk ini setelah lebih 20 tahun beroperasi.
“Harap pihak berkuasa dapat membina benteng pemecah ombak lebih kukuh bagi penyelesaian jangka panjang,” katanya.















