fbpx
11 Januari juga ialah Hari Terima Kasih Antarabangsa (International Thank You Day) yang menjadi peringatan untuk mensyukuri di awal tahun dan menyebarkan ucapan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang telah banyak berjasa dalam kehidupan kita.

Tarikh bertuah, hari berterima kasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI ini, 11 Januari sering dianggap hari yang ada istimewanya. Berangka turutan 1 sebanyak tiga kali atau 11.1, ahli numerologi bahkan menganggap 11 Januari hari paling bertuah dalam sesuatu tahun. Bagi mereka, angka 1 mewakili permulaan baharu dan ‘pintu yang terbuka’, manakala 111 disifatkan ‘angel number’.

Di Malaysia, 11 Januari sering diingati sebagai hari ulang tahun kelahiran penyanyi No.1 negara atau kini Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin. Dalam lipatan sejarah, ia juga tarikh pembebasan kota Mekah (fathul Mekah) oleh Rasulullah SAW (20 Ramadan bersamaan 11 Januari tahun ke-8 Hijrah).

Di peringkat global, 11 Januari dianggap bertuah kerana hari kemenangan loteri pertama direkodkan di England pada tahun 1569 serta sebagai dorongan ingatan untuk mensyukuri di awal suatu tahun menerusi Hari Terima Kasih Antarabangsa (International Thank You Day) berikutan tarikhnya yang mudah ingat.

Jadi sempena Hari Terima Kasih Antarabangsa, marilah sama-sama mengucapkan terima kasih kepada sesama kita terutama yang banyak membantu atau berkorban demi kita sepanjang hidup ini. Tidak kira ‘thank you’, ‘gracias’, ‘nandri’ apa juga bahasa dunia, sebarkanlah ucapan terima kasih.

‘Terima kasih’, dua kalimah ringkas bukan sekadar ucapan tapi perlambangan diri yang berbudi bahasa, bernilai murni dan pandai menghargai.

Bercakap tentang terima kasih, sebenarnya terima kasih tidak terhad diucapkan kepada mereka yang telah memberi bantuan kepada kita. Ada lima situasi lain boleh digunakan untuk mengucapkan terima kasih.

Pertama, ucapkan terima kasih apabila menerima pujian daripada seseorang. Katakan ada orang memuji baju yang anda pakai hari ini, kita adakalanya memusnahkan pujian dengan bersifat terlalu merendah diri dengan mengatakan ‘biasa saja, baju lama’ sehingga kita tidak mengalukan pujian itu. Sebaliknya ucapkanlah terima kasih kepada seseorang yang telah mengucapkan suatu yang baik kepada anda.

Kedua, ucapkan terima kasih apabila anda membuat seseorang menunggu. Sekiranya anda terlewat dalam satu temu janji, majlis atau tugasan dan pihak lain menunggu anda, ucapkan terima kasih kerana kesetiaan dan waktu yang telah individu itu korbankan demi anda.

Ketiga, ucapkan terima kasih apabila ada orang menyampaikan masalahnya atau suatu yang buruk menimpanya kepada anda. Mengucapkan terima kasih kerana kepercayaannya berkongsi masalah kepada anda boleh meringankan rasa permasalahan yang dialaminya kerana sewaktu menderita kesedihan sebenarnya tidak ada kata-kata panjang yang dapat menenangkan.

Keempat, ucapkan terima kasih apabila anda menerima suatu maklum balas. Apabila seseorang memberikan maklum balas, ucapkan terima kasih untuk anda memperbaikinya.

Kelima ucapkan terima kasih apabila seseorang memberikan nasihat kepada anda. Adakalanya dalam kehidupan seharian ini juga, ada orang yang tidak semena-mena memberi nasihat tentang suatu hal ketika melakukan aktiviti misalnya ketika anda membeli ikan di pasar, menggunakan pengangkutan awam atau bersenam di gimnasium. Ucapkan terima kasih kerana inisiatifnya menasihati anda.

Ucapkanlah terima kasih selalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN