fbpx
Gambar hiasan.

Murid aliran sains tulen makin merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Laporan International Physics Olympiad tahun 2023 menunjukkan Malaysia berada di tangga 53 dalam senarai peratus murid yang mengambil mata pelajaran Fizik.

Kedudukan Malaysia jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Singapura di tangga 8 dan Vietnam di 10, Thailand di tangga 12 dan Indonesia di tangga 15. Lebih membimbangkan keputusan Trends in

International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2023 yang menguji murid dalam kemahiran matematik dan sains menunjukkan Malaysia telah merosot teruk.

Hari ini kita sedang berhadapan dengan fenomena kemerosotan enrolmen murid di dalam aliran sains tulen.

Berdasarkan daftar calon yang menduduki SPM 2023, didapati hanya 29.42 peratus daripada 373,525 calon yang mengambil mata pelajaran matematik tambahan, biologi sebanyak 19.16 peratus dan fizik pula sebanyak 24.3 peratus.

Pada bulan 29 Mei 2020, Pengerusi National STEM Movement, Prof Datuk Dr. Noraini Idris, melaporkan hanya 19 peratus sahaja daripada kira-kira 447,000 calon yang menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) telah memasuki aliran sains apabila menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat. Pada tahun 2023, kadar ini terus merosot kepada hanya 16.38 peratus.

Kemerosotan ini dibimbangi memberi kesan kepada enrolmen bidang sains di universiti yang tidak akan dapat dipenuhi kerana kekurangan calon dari aliran sains tulen dan menyebabkan negara tidak mampu menghasilkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang sains dan teknologi.

Selain itu, data analisis keputusan SPM 2023 juga mengesahkan hampir 80,000 calon SPM dalam aliran sains telah gagal di dalam mata pelajaran matematik tambahan.

Tentunya ini memberikan kesan besar kepada perancangan kerajaan dalam menyediakan sumber manusia berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik tempatan bagi mendepani perkembangan sains dan teknologi global.

Sebenarnya, usaha untuk meningkatkan bilangan murid dalam aliran sains telah lama dilakukan.

Paling awal, 10 tahun selepas merdeka iaitu pada tahun 1967.

Kerajaan ketika itu telah menubuhkan Jawatankuasa Peranchangan Pelajaran Tinggi yang mencadangkan supaya negara menyasarkan kadar peratusan pelajar aliran sains berbanding sastera dengan nisbah 60:40.

Cadangan ini telah diterima oleh jemaah Kabinet dan sejak 1967, dasar 60:40 telah dijadikan asas kepada perancangan dalam meningkatkan bilangan murid di aliran sains. Malah dasar 60:40 ini juga telah menjadi salah satu intipati utama di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Bagi langkah segera untuk meningkatkan bilangan murid di dalam aliran sains, antara tahun 1971 sehingga 1973, kerajaan telah membina sepuluh buah Sekolah Menengah Sains Berasrama Penuh dan juga Maktab Rendah Sains Mara di seluruh negara.

Kerajaan juga telah memperkenalkan peruntukan tambahan kepada sekolah berdasarkan bilangan murid di dalam aliran sains.

Selain Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga pada tahun 1990an telah menyediakan pelbagai peruntukan untuk menganjurkan program meningkatkan minat dan kesedaran murid dan ibu bapa berkaitan kepentingan ilmu Sains dan Matematik.

Malah, di dalam Pelan Pembangunan Teknologi Perindustrian Negara telah diwujudkan dana khas untuk menggalakkan aktiviti berkaitan kepentingan ilmu Sains dan Matematik di sekolah dan IPG.

Bagaimanapun, sejak sepuluh tahun lalu nisbah murid peringkat menengah yang mengambil aliran Sains semakin berkurangan dan tersasar daripada matlamat yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Menurut kajian yang dilaksanakan oleh pasukan penyelidik dari Fakulti Pendidikan UTM yang diketuai oleh Profesor Fatin Aliah Phang, data enrolmen murid dalam aliran sains antara tahun 1981 hingga 2010 menunjukkan peratusan yang lebih tinggi.

Misalnya pada tahun 2005, kadar murid di dalam aliran Sains ialah 31.22 peratus dan kekal pada kadar di atas 30 peratus sehingga tahun 2010.

Ironinya, sebaik sahaja Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dilancarkan pada tahun 2013, dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dimulakan pada tahun 2012, trend penurunan kadar murid di dalam aliran Sains Tulen bermula sehingga merosot teruk pada tahun 2023 pada kadar serendah 16.3 peratus sahaja.

Persoalannya, apakah PPPM 2013-2025 dan juga pelaksanaan KSSR dan KSSM telah gagal memberi impak yang positif dalam isu ini sehingga kadar murid di dalam aliran sains merosot ke tahap jauh lebih rendah berbanding era pelaksanaan kurikulum KBSR dan KBSM sebelumnya?

Menyedari isu ini kritikal, pada Februari 2012 lagi, KPM telah menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal: Sastera dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud.

Jawatankuasa ini telah menyenaraikan enam puluh satu syor dan perakuan untuk meningkatkan enrolmen murid di dalam aliran sains di sekolah menengah.

Antaranya, menyemak semula hala tuju pendidikan sains dan teknologi dan definisinya, serta menambah bilangan waktu pembelajaran dan pengajaran bagi semua mata pelajaran sains tulen daripada empat waktu kepada lima waktu seminggu.

Selain itu, bagi memastikan murid-murid belajar dalam keadaan yang kondusif, kerajaan akan membaik pulih dan menaik taraf makmal sedia ada di sekolah rendah dan menengah.

Perakuan lain yang dinyatakan untuk dilaksanakan adalah penggunaan pendekatan pembelajaran inkuiri penemuan dan pemantauan dalam pengajaran dan pembelajaran, serta mewujudkan semula Peperiksaan Berpusat Amali Sains pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Turut dimuatkan dalam perakuan tersebut adalah meningkatkan kadar pemberian Biasiswa Kecil Persekutuan murid sains Tingkatan Empat dan Lima daripada RM70 kepada RM200 sebulan, manakala Biasiswa Kelas Persediaan Universiti bagi murid Tingkatan Enam juga dinaikkan daripada RM110 sebulan kepada RM300 sebulan.

KPM juga akan memulakan kerjasama dengan pusat-pusat pendidikan sains seperti Pusat Sains, Petrosains dan Planetarium untuk galak murid meminati sains.

Perubahan kepada silibus sains dan matematik mesti dilakukan. Pedagogi, fasiliti makmal dan bilik sains mesti dipertingkatkan.

Pada penulis, semua usaha ini mestilah bermula dengan pendekatan pembelajaran dan silibus yang menarik dan menyeronokkan dalam subjek sains dan matematik di sekolah rendah.
Biarlah silibus yang dilaksanakan di sekolah rendah lebih bermatlamat untuk meningkatkan keinginan, minat serta motivasi murid untuk belajar sains dan matematik.

DR. ANUAR AHMAD ialah Timbalan Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN