Dua minggu lagi sekolah akan bercuti, pastinya ibu bapa sudah ada perancangan dalam memanfaatkan waktu bersama keluarga.
Destinasi pilihan sama ada pulang ke kampung halaman atau lokasi menarik percutian di Semenanjung. Mungkin juga ada yang mahu mencipta momen bahagia bersama di negara jiran.
Tempoh ini juga dimanfaatkan untuk mengadakan jamuan, perjumpaan keluarga mahupun kenduri.
Mod pengangkutan yang menjadi pilihan adalah kereta, namun bagi yang berkumpulan, bas lebih menjimatkan selain meriah kerana semua berkumpul dan sampai pada masa yang sama.
Selain musim perayaan, cuti sekolah juga pasti mengundang kesesakan lalu lintas di laluan-laluan utama destinasi percutian termasuk lebuh raya, lebih-lebih lagi apabila tempoh cuti singkat atau bertembung dengan perayaan. Kali ini cuti sekolah semasa sambutan Tahun Baharu Cina.
Secara amnya, pada waktu ini bilangan kenderaan bertambah dan risiko kemalangan juga tinggi sekiranya kita alpa, memandu melebihi had laju apatah lagi terjerat dengan provokasi pengguna kenderaan lain.
Penulis yakin ramai pernah ada dalam situasi ini, kenderaan mengekori terlalu rapat, pemandu kenderaan memotong dengan cara ‘pancung’, bawa kereta melebihi had laju seolah-olah mereka berada di litar lumba.
Kesalahan paling biasa di laluan sibuk adalah melanggar lampu isyarat dan membuat pusingan U di tempat tidak sepatutnya. Situasi ini mengundang insiden jalan raya, paling teruk meragut nyawa.
Di sinilah sikap, kesabaran dan disiplin anda sebagai pemandu diuji. Semua mahu cepat, mahu segera sampai ke destinasi. Pepatah biar lambat asalkan selamat itu tidak terpakai waktu itu.
Di sinilah perlu kewarasan fikiran. Silap langkah bukan seorang yang hilang nyawa tetapi lebih dari itu, anak-anak menjadi yatim, isteri bertukar status ibu tunggal, suami kehilangan suri hidup.
Sikap angkuh, pentingkan diri ketika berada di jalan sangat membahayakan keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya yang lain.
Setiap laluan mempunyai had laju, antaranya lebuh raya 110 kilometer sejam, manakala jalan bandar 60km sejam. Patuhilah, ia bukan sekadar hiasan.
Laporan penyiasatan pelanggaran oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), tingkah laku pemanduan berisiko dan memandu melebihi had laju menjadi penyumbang bilangan kematian tertinggi.
Tahun lalu, statistik kemalangan menunjukkan sebanyak 532, 125 nahas jalan raya direkodkan sejak Januari hingga Oktober lalu dengan 5,364 daripadanya melibatkan kemalangan maut.
Setiap tahun ribuan nyawa hilang dan ramai lagi cedera akibat kemalangan jalan raya. Bertenanglah, bersabarlah ketika menggunakan jalan raya.
Tidak berbaloi memandu melebihi had laju, ‘bergaduh’ di jalan raya yang akhirnya membawa anda ke ‘penjara’. Bukankah kita mahu mencipta momen bahagia. Selamat Tahun Baharu 2025, tinggal-tingallah perangai lama.














