KUALA LUMPUR – Mimpi berdepan dengan huru-hara hari kiamat mendorong seorang lelaki berhenti menjadi gengster dan mula mencari keredaan Allah SWT sebagai membuktikan keinsafan dan taubat daripada perbuatan jahat terhadap manusia.
Aswad, 43, berkata, kejadian itu dialami pada pertengahan 2018 selepas dia hanyut dalam dunia samseng seperti pecah rumah, gaduh, ugutan dan pengutip hutang yang dijadikan pendapatan tetap daripada sumber haram selama 20 tahun.
Katanya, kerana tindakan samsengnya itu, dia digeruni sesetengah orang ketika itu.
“Saya pernah larikan anak dara orang untuk mengugut ibu bapanya lunaskan hutang. Saya dapat RM3,000 sebulan dan hidup mewah dengan hasil kerja haram.
“Sehinggalah saya bermimpi seolah-olah berada pada hari kiamat dan bermula pada saat itulah saya mula berhijrah dengan belajar solat, membaca al-Quran dengan harapan mahu meninggalkan dunia gengster selain berusaha mencari pekerjaan lebih baik.
“Saya sudah terima hukuman dunia iaitu dipenjarakan atas perbuatan sendiri. Saya harap taubat saya ini berterusan hingga ke akhir hayat,” katanya kepada Kosmo!.
Seorang lagi bekas gengster, Badri, 42, berkata, dia mula terlibat dalam dunia haram itu apabila berkenalan dengan golongan samseng ketika berusia 19 tahun.
“Usia muda saya dapat RM10,000 sebulan bila masuk kongsi gelap hasil duit pemerasan, kekerasan, menjaga kawasan dan lain-lain.
“Kerja kotor kena buat ramai-ramai baru seronok sebab boleh buat banyak benda jahat. Kita rasa berkuasa dan bangga bila orang takut dengan kita,” katanya.
Menurut Badri, bergaduh berebut kawasan menjadi perkara biasa dan pernah keluar masuk penjara atas kesalahan yang dilakukan.
Tambahnya, dia berubah selepas bertemu dengan rakannya yang juga bekas gengster ketika berusia 40 tahun.
“Dia sudah insaf ketika itu dan mengajak saya untuk kembali ke pangkal jalan. Walaupun saya kaki perempuan dan kelab malam, saya tersentuh bila lihat kawan baik saya itu solat.
“Bila di dia nak tumpang solat di rumah saya, dia tanya arah kiblat dan saya sendiri tidak tahu sedangkan di rumah ada sejadah. Dia ajak saya berjemaah tetapi saya malu kerana tak tahu cara berwuduk,” katanya.
Ujar Badri, ketika itu dia terdetik untuk berubah walaupun merasakan amalannya tidak akan diterima kerana kejahilan dan kejahatannya.
Segala nikmat dunia seperti perempuan, dadah, arak dan sebagainya kini dibuang jauh-jauh selepas merasakan rindu kepada Allah SWT ketika duduk di atas sejadah.
Remy, 38, pula berkata, suka melihat orang takut kepadanya menjadi punca dia ketagih menjadi kaki pukul pada 2005.
“Saya tahu cara mempertahankan diri dan mula membina nama sebagai pengutip hutang selepas bersekongkol dengan ceti haram. Saya dapat komisen hingga 30 peratus untuk dikongsikan dengan dua lagi rakan,” katanya.
Ujar Remy, dia tidak perlu keluar modal dan cukup dengan kudratnya selain berani dan bijak memanipulasi penghutang.
Bercerita lanjut, Remy berkata, apabila sedar usia hampir memasuki 40 tahun, dia mula mempersoalkan dirinya sampai bila mahu terus hidup sebegini.
“Takkan mati nanti pun masih jadi gengster, sudah masa untuk saya berubah, bekas banduan juga layak beri contoh terbaik. Rakan-rakan lain juga semakin jumpa sinar kehidupan.
“Sebelum ini beberapa kali cuba untuk berhenti, bila berkait dengan wang, pulangan lumayan dia jadi seronok untuk buat lagi.
“Kunci utama untuk berubah, dekatkan diri dengan Allah, insya-Allah semuanya akan mudah, dan saya sendiri sedang belajar istiqamah dengan kehidupan sekarang, tenang sangat. Dulu ada duit banyak tak pernah tenang seperti sekarang,” kongsinya.














