GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) masih mengenakan larangan ke atas kenderaan pacuan empat roda (4×4) untuk laluan ke lima buah pos penempatan Orang Asli pedalaman di daerah ini untuk tujuan riadah.
Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai jalan rosak, tanah dan jambatan runtuh daripada penduduk Orang Asli di kawasan perkampungan tersebut sepanjang musim tengkujuh ini.
Kata beliau, pihaknya berharap orang ramai terutama peminat kenderaan lasak dapat mematuhi sementara larangan itu untuk sementara waktu.
“Kita khuatir penggunaan kenderaan pacuan empat roda boleh menyebabkan jalan makin rosak. Larangan ini bermula pada September sehingga Februari ini bergantung kepada keadaan cuaca.
“Sekiranya hujan masih berterusan kita tidak akan membenarkan lagi kenderaan pacuan empat roda masuk kerana akan menjejaskan laluan utama keluar masuk penduduk Orang Asli,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Roslina memberitahu, Jakoa turut menasihatkan Orang Asli di pedalaman supaya peka dengan cuaca memandangkan musim tengkujuh masih belum berakhir.
Penduduk juga perlu sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri sewaktu mencari hasil hutan.
Bagi penduduk yang tinggal berhampiran sungai, pihak Jakoa menasihatkan mereka agar sentiasa peka dengan kenaikan paras air sungai dan cuaca.
“Pastikan penduduk berpindah ke tempat selamat jika hujan lebat berterusan memandangkan musim tengkujuh masih belum berakhir,” katanya.
Sebelum ini, Jakoa mengeluarkan notis tidak membenarkan sebarang aktiviti riadah dan kemasyarakatan ke pos pedalaman bermula 15 September 2024 di Facebook rasmi jabatan itu.
Larangan itu berkuat kuasa sehingga 28 Februari ini bagi pos penempatan Orang Asli di Pos Gob, Pos Simpor, Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Bihai.














