fbpx
SALAH satu kawasan bandar span yang berfungsi mengatasi masalah banjir di China.

K2

‘Bandar span’ tangani masalah banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KRISIS iklim yang melanda dunia ketika ini telah menyebabkan ribut kuat dan hujan lebat sehingga meningkatkan risiko banjir besar.

Malah, banyak bandar di seluruh dunia ketika ini berdepan kesukaran menangani bencana banjir.

Bagi mengatasi fenomena tersebut, kebanyakan negara menggunakan penyelesaian kejuruteraan berteknologi tinggi berasaskan konkrit terutamanya ketika berhadapan dengan krisis iklim.

Namun, arkitek landskap dan perancang bandar di China membenarkan alam semula jadi melakukan kerja tersebut.

Selama lebih sedekad, Kongjian Yu melalui firmanya, Turenscape telah mereka bentuk ‘bandar span’ berasaskan alam semula jadi .

Bandar itu bertujuan menyerap dan mengekalkan air hujan, sebelum melepaskannya semula ke alam sekitar.

Syarikat itu mewujudkan taman baharu, memulihkan tanah lembap dan membangunkan taman hujan serta turapan khas untuk tujuan tersebut.

Yu berkata, antara masalah penyelesaian berasaskan konkrit atau pembinaan paip yang menyalurkan air dari kawasan banjir adalah kurangnya fleksibiliti, memerlukan penyelenggaraan berterusan dan mahal.

Menurutnya, kaedah itu berlawanan dengan cara menjadikan tempat itu lebih ‘sensitif atau terdedah’ kepada banjir.

“Bandar yang bergantung pada tebatan banjir konvensional adalah sama seperti arteri tersumbat. Ia sama seperti aliran darah yang tersumbat sehingga menyebabkan serangan jantung.

“Begitu juga bagi kaedah penyumbatan dan limpahan dalam sistem saliran bandar, ia boleh mendatangkan kesan dahsyat.

“Terdapat salah tanggapan bahawa jika kita boleh membina tembok banjir lebih tinggi atau membuat empangan lebih tinggi dan kuat, maka kita boleh melindungi bandar daripada banjir.

“Kita fikir kita boleh kawal air banjir, tetapi kita sebenarnya silap,” katanya kepada agensi berita antarabangsa, CNN.

Justeru, bagi menangani masalah itu, Yu mencadangkan untuk mewujudkan kawasan tanah berliang seperti ‘hutan terapung’, di mana tumbuhan boleh tumbuh subur dengan sedikit penyelenggaraan.

Jadi, jika hujan, tumbuhan akan menyerap air dan menghalang sebahagian atau semua kawasan berhampiran daripada dibanjiri limpahan air.

“Sementara itu, sekiranya lebihan air tidak diserap oleh kaedah ini, maka arusnya akan diperlahankan oleh tumbuh-tumbuhan berkenaan.

“Tidak seperti konkrit yang boleh mempercepatkan aliran air secara berbahaya,” jelas Yu.

Untuk makluman, syarikat Turenscape telah merancang dan mereka bentuk lebih 10,000 projek di lebih 250 bandar di seluruh dunia. Syarikat itu telah berjaya menyelesaikan lebih 1,000 kawasan yang berhadapan dengan masalah banjir.

Kebanyakan projek pintar itu boleh ditemui di China, di mana lebih daripada 70 bandar telah melaksanakan inisiatif bandar span.

Dalam pada itu, bencana banjir telah menimbulkan masalah yang semakin membimbangkan di China.

Presiden negara Tembok Besar itu, Xi Jinping menyifatkan tugas mengawal banjir semakin sukar.

Menurut laporan Bank Dunia pada tahun 2021, sebanyak 641 daripada 654 bandar di China menghadapi masalah banjir.

Masalah tersebut sebahagian besarnya dikaitkan dengan pembangunan bandar yang pesat sehingga menyebabkan dataran banjir ‘hilang’.

PROJEK bandar span sedang diperluaskan di seluruh China bagi mengatasi masalah banjir.

Keterdedahan China terhadap masalah banjir telah meningkat dengan ketara pada musim panas lalu.

Pada Jun tahun lalu, bahagian selatan negara itu dilanda banjir kilat dan tanah runtuh berikutan hujan lebat sehingga menyebabkan puluhan ribu orang dipindahkan dan kehilangan nyawa.

Sementara itu, pada Julai tahun lalu, kemusnahan serupa berlaku di seluruh kawasan di Tengah China apabila beberapa wilayah mengisytiharkan amaran kecemasan.

Ia selepas berpuluh-puluh orang terbunuh dalam kejadian jambatan runtuh dan bandar ditenggelami air sehingga menyebabkan ribuan penduduk terkandas.

Bencana banjir yang berlaku di China juga menunjukkan keterbatasan bandar span di negara itu sehingga menjadi perdebatan.

Dalam pada itu, Yu mahu bandar-bandar beralih daripada penyelesaian infrastruktur besar yang digemari oleh kerajaan dan syarikat pembinaan ke arah alternatif berskala lebih kecil.

Malah, program bandar span di Wuhan telah menelan belanja lebih daripada AS$550 juta (RM2.4 bilion). Ia jauh lebih murah daripada pendekatan berasaskan konkrit.

Sesuatu bandar span yang berjaya harus direka bentuk dengan mengambil kira lokasi, faktor topografi, corak hujan dan jenis tumbuhan semula jadi serta keperluan masyarakat.

Ia merupakan pendekatan holistik dan perlu disesuaikan mengikut kawasan.

Misalnya, di wilayah pulau tropika di Hainan, Turenscape telah mengubah tembok laut konkrit lama, ladang ikan tandus dan tapak medan perang berhampiran menjadi ‘tembok laut bernafas’.

Ia berfungsi menyerap daya lautan dan bertindak sebagai zon penampan terhadap banjir bagi daerah komersial berdekatan.

Tembok laut telah dibentuk semula untuk menempatkan penanaman teres, manakala kolam dan kawasan ternakan ikan dijadikan habitat pokok bakau.

Di kawasan pedalaman, ruang hijau berliang membantu memperlahankan aliran air dan menyerap gelombang ribut.

Malah, ia telah menahan beberapa ribut tropika sejak dua tahun lalu.

Menurut penyelidikan dijalankan oleh Yu dan firmanya, pihaknya menganggarkan bahawa jika 20 peratus hingga 30 peratus daripada tanah bandar diberikan untuk projek span, bandar itu hampir selamat daripada banjir.

Namun, jika kawasan sekitarnya turut banjir, maka tapak tersebut mungkin sukar untuk menyerap semua air berlebihan.

Firma itu juga berkata, 2.47 ekar (1 hektar) tanah span secara semula jadi boleh membersihkan kira-kira 800 tan air tercemar dan cukup selamat untuk berenang.

Namun, beberapa pakar telah menerangkan bahawa infrastruktur bandar span bergelut untuk mengatasi masalah itu apabila hujan melebihi 200 milimeter (7.9 inci) sehari.

Sebagai contoh, bandar Meizhou, di Guangdong telah ditetapkan sebagai bandar span tetapi mengalami banjir paling teruk pada musim panas lalu.

Ia selepas berlaku hujan lebat yang menyaksikan bandar itu mengalami 369.3 milimeter (14.5 inci) hujan dalam satu hari

Namun, Turenscape tidak mencipta sebarang projek span di bandar itu.

Sementara itu, Profesor Sains Geografi di Universiti Nottingham Ningbo China, Faith Chan berkata, program bandar span di China lazimnya boleh meringankan atau mengurangkan impak hujan sederhana, namun ia bukan untuk hujan lebat.

“Infrastruktur span mesti ditambah dengan ‘kejuruteraan keras’ seperti empangan dan benteng untuk menangani hujan paling lebat.

“Kami memerlukan kedua-dua langkah untuk meningkatkan daya tahan bandar.

“Kita tidak boleh hanya bergantung pada satu kaedah sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN