KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah khalwat berulang di khalayak ramai yang diadakan di dalam Dewan ‘Assim, Masjid Al Muktafi Billah Shah di sini, semalam, disambut baik umat Islam di Terengganu.
Mereka berharap pelaksanaan hukuman tersebut dapat disaksikan umum secara terbuka selepas ini bagi memberi lebih keinsafan kepada umat Islam.
Salah seorang penduduk dikenali Aidil, 39, berkata, dia sedikit ralat apabila dimaklumkan hukum sebat terhadap pesalah berusia 42 tahun itu dilaksanakan di dalam dewan masjid.
“Saya menunaikan solat Jumaat di masjid ini agar dapat menyaksikan hukuman yang menegakkan syiar Islam ini.
“Begitupun saya akur kerana sudah pasti ketetapan pihak berkuasa ini telah mengambil kira semua aspek,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Muhammad Aidil Aiman berkata, dia berharap pelaksanaan hukuman sebat takzir pada masa hadapan dibuat di tempat terbuka dan boleh dihadiri orang ramai.
“Atau boleh juga buat secara ‘siaran langsung’ agar ia boleh disaksikan lebih ramai di luar sana sekali gus memberi kefahaman kepada mereka mengenai pelaksanaan hukuman sebat dalam Islam yang sangat berbeza dengan hukuman sebat sivil,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Nurul, 32, berkata, hukuman sebat di khalayak ramai yang dilaksanakan itu diharap dapat diperluaskan untuk kesalahan jenayah syariah yang lain.
“Mungkin dengan cara ini, umat Islam lebih berhati-hati dalam kehidupan harian mereka dan tidak terjebak dengan aktiviti maksiat yang dilarang agama.
“Insya-Allah jika dilaksanakan di depan khalayak ramai di tempat yang terbuka, pesalah akan serik dan insaf serta orang lain pun ‘gerun’ hendak melakukan perkara sama,” katanya.














