fbpx
Dr. SURAIYA, Nur Aina dan Muhammad Amir masih berharap jasad bapanya, Sabari ditemui selepas lebih 100 hari dibunuh.

‘Hanya kerana wang RM20,000, kami hilang bapa yang baik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Kes pembunuhan kejam seorang pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, pada awal September lalu masih me­ninggalkan kesan kepada seluruh ahli keluarga termasuk tiga anak mangsa yang berharap jasad ayah mereka dapat ditemui dan dikebumikan seperti insan lain.

Anak sulung Sabari, Dr. Suraiya Izzati, 29, berkata, dia dan dua adiknya, Nur Aina Sofiya, 28, dan Muhammad Amir Hakimi, 25, juga mengharapkan agar dapat melihat dan menziarahi kubur arwah ayah mereka.

“Walaupun kehilangan ayah sudah memasuki tempoh yang lama iaitu lebih 100 hari, namun kami tidak pernah berhenti untuk berdoa bagi memohon agar jasad ayah ditemui.

“Biarpun mayat yang ditemui itu tidak sempurna, sekurang-kurangnya kami tiga beradik dapat menyempurnakan urusan pengkebumiannya agar tidak lagi tertekan seperti sekarang. Selain itu, kami juga dapat ziarah kubur ayah seperti orang lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Banyan Hill Park di sini baru-baru ini.

Menurut doktor gigi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) itu, perasaan rindu kepada arwah ayah terlalu kuat selepas mengenangkan sifat penyayang arwah.

“Saya sendiri sukar untuk melihat potret ayah kerana terlalu sedih dengan kejadian yang menimpanya.

“Begitu juga dengan dua adik yang akan menangis setiap kali melihat potret ayah. Sehingga kini, kami tidak dapat menerima hakikat yang ayah diperlakukan sebegitu kejam sehingga membawa kepada kematiannya.

“Hanya kerana wang kira-kira RM20,000 yang disamun dari bapa, mereka sanggup membunuh sehingga kami sekeluarga hilang seorang bapa yang baik,” katanya.

Dr. SURAIYA dan Muhammad Amir ketika berada rumah ayah mereka di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Dr. Suraiya mengakui dia dan adik bongsunya, Muhammad Amir yang bekerja sebagai jurutera akan bergilir setiap minggu pulang ke Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling untuk menjenguk rumah pusaka arwah.

“Walaupun tidak lagi disambut dan dipeluk ayah se­perti dahulu, sekurang-kurangnya terubat rasa rindu apabila dapat membersih­kan rumah yang sebelum ini menjadi tempat tinggal kami sekeluarga semasa kecil. Di sini juga menjadi lokasi pertemuan kami adik-beradik setiap kali pulang bercuti selepas tamat belajar dan bekerja,” katanya.

Seorang lagi anak Sabari iaitu Nur Aina kini sedang melanjutkan pengajian di sebuah Institut Pendidikan Guru di Sabah.

Menurut Dr. Suraiya, satu lagi cara mereka menghilangkan rindu terhadap arwah ialah dengan cara mengunjungi Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Wang Tepus setiap kali mempunyai masa lapang.

Katanya, di lokasi itulah bapa mereka dicampak suspek selepas tangannya diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

“Saya bukan ke sana untuk menghabiskan masa, sebaliknya menganggap i­tulah kubur ayah yang perlu di­ziarahi dalam usaha meringankan tekanan kehilangannya.

“Selaku anak yang bertanggungjawab, kami juga akan hadir setiap kali perbicaraan membabitkan dua suspek yang telah dituduh bagi memastikan ayah mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Kata Dr. Suraiya, walaupun sehingga kini dia tidak pernah dihubungi oleh keluar­ga suspek sama ada untuk meminta maaf atau sebagainya, dia dan dua adiknya sepakat tidak menyalahkan atau berdendam dengan mereka.

“Kami sama sekali tidak berdendam dengan seluruh ahli keluarga suspek kerana bukan mereka yang melakukan pembunuhan itu.

“Apa yang kami mahu adalah hukuman seadilnya kepada mereka yang terlibat mengikut undang-undang berdasarkan kekejaman yang dilakukan ke atas arwah ayah kami,” katanya.

Di Sungai Padang Terap, Jitra inilah jasad Sabari dicampak dalam keadaan tangannya diikat selain mulut ditutup pita pelekat.

Terdahulu, kehilangan Sabari mencetuskan misteri apabila dia dilaporkan tidak pulang ke rumahnya selepas keluar menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.

Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari.

Kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa kemudian ditemui dalam keadaan hangus terbakar di Belantik, Sik.

Hasil penahanan dua lelaki, polis kemudian berjaya merungkai kehilangan Sabari yang mana mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dengan tangan diikat dan mulut ditutup dengan menggunakan pita pelekat.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari operasi mencari dilancarkan pelbagai pasukan keselamatan, jasad Sabari masih belum ditemui sehingga hari ini.

Kosmo! pada 18 Oktober lalu turut melaporkan, seorang kontraktor, Mazuan Hana, 38, dan anak saudaranya, Muhd. Asyraf Idris, 26, yang merupakan pekerja kilang didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Sabari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN