GANGGUAN seksual boleh didefinisikan sebagai satu tindakan tidak diingini yang bersifat seksual dalam pelbagai bentuk sama ada lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal yang ditujukan kepada seseorang.
Gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana-mana sahaja seperti tempat kerja, pengangkutan awam, sekolah, universiti atau di tempat beriadah.
Jangan takut lapor jika ‘diganggu’
Ia bukan gangguan melibatkan tindakan fizikal semata-mata, tetapi elemen visual sehingga seseorang berasa kurang selesa, itu juga menyalahi undang-undang.
Menurut pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Muzaffar Mallow, mana-mana individu yang berasa ‘diganggu, tidak boleh berdiam diri, sebaliknya membuat aduan segera kepada pihak berwajib.
“Jika mangsa berdiam diri, mereka mungkin akan berterusan ‘diganggu’ si pelaku selain berupaya menjadi semakin serius,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jelasnya, mangsa tidak perlu berasa takut untuk membuat laporan meskipun si pelaku adalah individu berpengaruh dalam organisasi atau komuniti.
Gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan boleh dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk individu popular, anggota polis, ahli agama atau tokoh politik.
Selain itu, pelaku juga tidak perlu bimbang dengan laporan yang dibuat ini kerana, Malaysia mempunyai undang-undang dan tiada sesiapa dapat melebihi perkara itu.
“Perlindungan sewajarnya harus diberikan kepada mangsa yang berani membuat aduan kerana apa yang penting adalah tindakan pantas mangsa,” tegasnya.
Dalam konteks ini, mangsa juga boleh mengambil tindakan antaranya menerusi undang- undang sivil atau jenayah seperti Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Kerja 1955 dan lain-lain lagi.
“Sebelum ini mangsa gangguan seksual dalam negara kita hanya mampu menghantar pesalah ke dalam penjara tanpa mendapatkan sebarang pampasan.
“Bagaimanapun, menerusi kes di peringkat Mahkamah Persekutuan pada 2016, mangsa gangguan seksual berjaya mendapat ganti rugi RM120,000 kerana mengalami kemurungan,” katanya.
Mangsa mendapat ganti rugi itu selepas majikannya mengeluarkan beberapa kenyataan berunsurkan seksual hingga menyebabkan dia mengalami kemurungan.
Kes itu turut menjadi asas baharu dalam sistem perundangan negara yang mana mangsa serangan seksual dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pelaku serta menuntut pampasan.
Tambah beliau, selain penguatkuasaan undang-undang sedia ada, usaha pendidikan berterusan juga harus diambil kepada semua lapisan masyarakat dalam usaha menbendung isu gangguan seksual tersebut.
“Sudah tiba masanya masyarakat kita dididik dan diberikan kesedaran bahawa gangguan seksual dan semua jenis gangguan tidak boleh berlaku pada sesiapa pun.
“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan sebarang jenis gangguan seksual terhadap individu lain,” ujarnya.















