fbpx
Kajian mendapati dalam tempoh 2013 hingga 2020, suhu udara Malaysia meningkat secara konsisten dengan purata 0.28 darjah Celsius. Bandar Penawar di Johor mencatatkan peningkatan suhu tertinggi iaitu 0.60 darjah Celsius berbanding dekad lalu. (Rajah penuh Malaysia dalam artikel)

Suhu Malaysia makin panas, hujan makin lebat, paras laut meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA dapat rasakan suhu di Malaysia kini semakin panas, berbanding dahulu,” kata Faisal Ismail.

Malah, rumah keluarganya di Kedah kini telah dipasang dengan pendingin hawa.

Pemuda berusia 36 tahun itu masih mengingati, sekitar dua dekad lalu keadaan di kampungnya tidak sepanas sekarang.

“Dahulu, pendingin hawa tidak diperlukan kerana suhu tidak sepanas sekarang.

“Tetapi kini, saya dapat rasa perbezaannya, di mana jika tiada pendingin hawa pasti saya berpeluh pada waktu malam ketika tidur,” jelasnya.

Menurut, Felo Penyelidik yang juga Pensyarah Kanan di Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Gs. Dr. Ricky Anak Kemarau berkata, perubahan iklim telah memberi kesan kepada peningkatan suhu di Malaysia.

Katanya, berdasarkan kajian kesan perubahan iklim yang dilakukan di Malaysia, berlaku peningkatan suhu.

“Dari tahun 1970 hingga 2013, suhu purata di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak meningkat sebanyak 0.14 darjah Celsius sehingga 0.25 darjah Celsius setiap dekad.

“Dalam tempoh 30 tahun (2013-2020) pula, suhu udara meningkat secara konsisten dengan purata 0.28 darjah Celsius.

“Kawasan seperti di Bandar Penawar, Johor mencatatkan kenaikan tertinggi sebanyak 0.60 darjah Celsius, manakala di Marudi (Sarawak) berlaku peningkatan terendah sebanyak 0.09 darjah Celsius,” katanya.

Tambahnya, fenomena ‘pulau haba bandar’ juga semakin ketara dengan bandar raya seperti Kuala Lumpur mencatat suhu 1.06 hingga 1.5 darjah Celsius lebih tinggi dalam tempoh 30 tahun.

Di wilayah Utara Semenanjung, suhu dijangka meningkat sehingga 3 darjah Celsius menjelang 2050, sekali gus mengancam kawasan pertanian akibat kemarau lebih kerap.

Menjelang 2090, suhu dijangka meningkat sebanyak 3.11 darjah Celsius di bawah senario pelepasan tinggi (RCP8.5).

Mengulas lanjut, Ricky berkata, peningkatan suhu ini sebenarnya memberi impak terutamanya terhadap produktiviti tanaman.

Menurutnya, suhu tinggi akan mengurangkan hasil tanaman seperti padi dengan penurunan hasil sehingga 30 hingga 60 peratus di kawasan yang sering dilanda kemarau.

“Selain itu, ia juga memberi kerugian kepada ekonomi, di mana kemerosotan hasil tanaman, kerosakan infrastruktur dan kos pemulihan bencana boleh menyebabkan kerugian tahunan melebihi RM20 bilion menjelang 2050.

“Bahkan, masalah ini memberi impak kepada kesihatan melalui gelombang haba.

“Keadaan gelombang haba dijangka lebih kerap, dan meningkatkan risiko strok haba,” jelasnya.

RICKY

Mengulas lanjut, Ricky berkata, perubahan iklim bukan hanya menyebabkan peningkatan suhu.

Malah, ia boleh menyebabkan peningkatan fenomena banjir di negara ini.

“Malaysia adalah salah satu negara yang paling terdedah kepada banjir di Asia Tenggara. Banjir boleh menjejaskan 130,000 orang pada setiap tahun.

“Menjelang tahun 2030, perubahan iklim dijangka meningkatkan lagi jumlah mangsa sebanyak 70,000 orang yang terkesan disebabkan banjir,” ujarnya.

Perubahan iklim ini memberi kesan terhadap El NiNo – Southern Oscillation (ENSO) yang menyebabkan peningkatan kekerapan dan intensiti fenomena El Nino dan La Nina.

Perbezaan purata suhu udara untuk Malaysia mengikut dekad antara 1991-2000
dan 2011-2020.

Kajian juga menunjukkan peningkatan sebanyak 130 peratus kekerapan El Nino ekstrem dengan pemanasan global mencapai 1.5 darjah Celsius.

Malah, fenomena La Nina berturut-turut semakin kerap berlaku, seperti dari tahun 2020 hingga 2022.

Impak daripada ENSO akan mengakibatkan perubahan corak hujan global, termasuk kemarau di kawasan monsun dan banjir di sekitar pesisir pantai.

Selain itu, Ricky menjelaskan, perubahan iklim telah menyebabkan Madden-Julian Oscillation (MJO)

Menurutnya, MJO menunjukkan peningkatan amplitud sebanyak 13 peratus setiap abad yang dipengaruhi oleh kenaikan suhu permukaan laut.

“Tempoh purata fenomena ekstrem MJO adalah 1.35 bulan, dengan intensiti purata 1.07. Ini menunjukkan peningkatan variasi cuaca ekstrem global seperti siklon tropika dan hujan lebat​.

“Perubahan dalam MJO membawa kepada peningkatan hujan lebat di kawasan tropika, sekali gus menyebabkan banjir besar.

“Ia juga memberi impak kepada suhu permukaan laut, di mana kesan pemanasan global menjadikan MJO bergerak lebih pantas dengan perubahan corak angin yang melemahkan telekoneksi global,” katanya.

Selain itu, perubahan iklim mempengaruhi perubahan pola hujan.

Monsun Timur Laut menunjukkan peningkatan hujan lebat, manakala Monsun Barat Daya mencatat musim kering lebih panjang.

Monsun yang tidak menentu menjadi lebih ekstrem sehingga menyebabkan peningkatan kekerapan banjir dan kekurangan air.

Selain itu, perubahan iklim akan menyebabkan kenaikan paras laut dan hakisan pantai.

fENOMENA banjir dijangka lebih buruk pada tahun 2030. – Gambar hiasan

Kini, paras laut meningkat pada kadar 3.3 milimeter (mm)/tahun di kawasan Timur dan 5.0 mm/tahun di sebelah Barat Malaysia.

“Menjelang tahun 2100, paras laut diramalkan meningkat sebanyak 0.4 hingga 0.7 meter.

“Kawasan rendah seperti Terengganu, Johor dan Kedah berada dalam risiko tinggi akibat kenaikan aras laut ini,” kata Ricky.

Perubahan iklim bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng kerana ia mempunyai impak jangka panjang jika tiada tindakan diambil.

Mengulas akan hal itu, Ricky berkata, antara impak lain perubahan iklim adalah kemerosotan keselamatan makanan negara.

Menurutnya, kemarau berpanjangan dan fenomena seperti El Nino boleh menyebabkan musim kering lebih panjang di Malaysia.

“Dianggarkan hampir 30 peratus hasil padi di Kedah berisiko hilang akibat kemarau dan kemasukan air masin.

“Selain ini, perubahan iklim ini akan menyebabkan habitat hidupan laut terjejas, dan berlaku fenomena penghijrahan ikan.

“Fenomena ini akan mengurangkan hasil tangkapan ikan sebanyak 10 hingga 20 peratus pada setiap tahun, dan ini mengancam mata pencarian nelayan sepenuh masa,” ulasnya.

Selain itu, perubahan iklim akan menyebabkan kerosakan ekosistem dan biodiversiti. Ia akan menyebabkan berlakunya kehilangan kawasan paya bakau.

Hampir 30 peratus ekosistem paya bakau di Malaysia, termasuk di Selangor dan Pahang berada dalam risiko tinggi akibat kenaikan paras laut serta hakisan​

Kehilangan ini bukan sahaja mengurangkan perlindungan semula jadi daripada ribut dan hakisan, malah menjejaskan habitat spesies marin.

Sementara itu, perubahan iklim boleh menyebabkan krisis air dan tenaga.

Ricky berkata, kesannya akan berlaku kekurangan air semasa musim kering akibat perubahan corak Monsun Barat Daya, sekali gus boleh menjejaskan berjuta-juta penduduk di Perlis dan Kelantan.

“Kekurangan air untuk pertanian dan kegunaan domestik akan meningkatkan kos pengurusan sumber air.

“Selain itu, ia akan memberi tekanan kepada sistem tenaga, di mana permintaan tenaga untuk penyejukan meningkat. Ini boleh mendorong peningkatan kos elektrik, dan menambah tekanan kepada sistem tenaga negara,” jelasnya.

Disebabkan itu, strategi praktikal untuk mitigasi dan adaptasi perubahan iklim di Malaysia perlu dilakukan segera.

Ricky menjelaskan, pemantauan yang berterusan Melalui Teknologi Remote Sensing (RS) dan Geographic Information Systems (GIS) dalam mengenal pasti serta meramalkan kesan perubahan iklim di Malaysia membolehkan penyaluran bantuan.

“Kita boleh menggunakan teknologi satelit dan pemetaan GIS untuk memantau fenomena seperti pulau haba bandar, kenaikan paras laut atau risiko banjir,” katanya.

Tambahnya, Belanda antara contoh negara yang berjaya menggunakan teknologi itu untuk sistem saliran bandar dan perlindungan pantai, sehingga mampu mengurangkan risiko banjir besar. Selain itu, pengurangan pelepasan karbon juga perlu dilakukan.

Langkah itu boleh dilakukan dengan menyediakan kemudahan pengangkutan awam terbaik, dalam usaha mengurangkan pencemaran karbon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN