fbpx
Menerusi teknik casting, Mohd. Ariff berjaya mendapatkan ikan black bass.

K2

Teknik casting cabar ‘jiwa pemburu’ pemancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEAWAL usia 11 tahun, pemuda itu sudah tertarik dengan hobi memancing selepas dia melihat rakannya melakukan aktiviti tersebut di kawasan parit berdekatan rumahnya.

Melihat rakan menangkap ikan haruan dengan hanya menggunakan umpan cicak, dia kemudian meminta bapanya membelikannya set pancing sendiri.

Kongsi Mohd. Ariff Alias, 36, selepas mendapat set pancing sendiri, bermulalah perjalanannya dengan hobi memancing yang sehingga kini masih menjadi aktiviti wajib di masa lapang.

“Sejak ada set pancing memang saya selalu keluar memancing dari parit ke lombong hinggalah tasik dan bawa balik ikan, malah hobi ini tidak terhenti setelah tamat sekolah menengah.

“Ketika di pengajian tinggi, saya menyambung pelajaran di Kuantan, Pahang dan di sana saya meneroka lebih mendalam dengan cuba memancing di air masin dan mencuba teknik memancing casting,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahnya dalam hobi memancing, dia banyak belajar daripada pembacaan menerusi majalah dan bertanya rakan-rakan yang arif tentang selok- belok memancing.

Menerusi pembacaan jugalah, dia mula tertarik dengan teknik memancing casting.

Kongsinya lagi, dalam kepelbagaian teknik memancing, bapa kepada dua cahaya mata itu memberitahu, dia lebih gemar untuk memancing dengan teknik casting kerana lebih memberikan keterujaan selain berjiwa memburu.

Katanya, dalam memancing casting, selain bergantung kepada rezeki, teknik ini juga berpandu kepada kemahiran pemancing, fokus dan keupayaan membuat keputusan dengan tepat.

“Setiap pemancing mempunyai matlamat yang berbeza dan bagi saya, memancing casting mencabar keupayaan pemancing dalam menawan ikan di mana-mana lokasi.

MOHD. ARIFF menunjukkan ikan merah yang pernah menjadi tangkapannya.

“Jika memancing casting dengan teknik yang betul boleh meningkatkan potensi untuk menangkap ikan. Balingan yang tepat ke strike zone dan cara memikat ikan juga adalah aspek yang perlu dititikberatkan,” ujarnya yang juga merupakan pempengaruh dalam dunia memancing.

Katanya yang kini bekerja sebagai pensyarah dan menetap di Semporna, Sabah, setiap orang mempunyai matlamat dan kepuasan yang berbeza dalam memancing.

Ada yang mencari kepuasan dengan memburu ikan trofi (ikan besar), tetapi padanya dia lebih kepada memburu ikan secara umum dan mendapatkan ikan sasaran di setiap lubuk dikunjungi.

Berpengalaman memancing di pelbagai lokasi sama ada di Semenanjung Malaysia dan Sabah, katanya, dalam memancing, saiz bukanlah segalanya tetapi pengalaman dan kejayaan mendapatkan ikan itu merupakan satu kepuasan yang sebenar.

“Kalau diikutkan di Sabah, banyak lokasi yang boleh membuahkan ikan trofi jika memancing dengan teknik berbeza seperti jigging, tetapi pada saya memancing ini lebih puas jika kita dapat menangkap apa-apa ikan sasaran.

“Dalam casting, kita lebih menyasarkan untuk dapat ikan pemburu antaranya kelah, sebarau atau black bass dan adakalanya dengan teknik ini kita boleh dapat ikan yang tidak diduga,” jelasnya yang pernah meneroka sungai di Kalimantan, Indonesia.

Mohd. Ariff turut berkongsi ilmu menerusi saluran Youtube, Facebook dan Tiktok, Ariff Fishing. Katanya, meskipun hobi memancing mempunyai kos tersendiri meliputi peralatan, perjalanan ke lubuk dan sebagainya, ia juga boleh menjana pendapatan sampingan menerusi aktiviti perkongsian kandungan.

Ujar tenaga pengajar Fishing Buddies Academy itu, untuk memahirkan diri dalam memancing, selain belajar sendiri, seseorang itu juga perlu berguru dengan orang lebih berpengalaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN