fbpx
Rasionalisasi subsidi RON95 merupakan perkara yang diikuti rapat pengguna terutamanya kerana ia bakal memberi pelbagai impak. – GAMBAR HIASAN

Menanti 2025 yang penuh mencabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJELANG tahun 2025, ramai pastinya menaruh harapan dan menetapkan azam untuk membuka lembaran baharu yang lebih baik berbanding tahun ini, selari dengan kehendak semula jadi manusia untuk memajukan diri sendiri.

Rasa optimis dan keterujaan memasuki tahun baharu turut dipengaruhi oleh musim cuti akhir tahun yang memberikan kita sedikit ruang untuk berehat dan melupakan apa jua masalah dihadapi tahun ini, yang turut dibantu dengan pemberian bonus oleh majikan, sekiranya ada.

Pada masa sama, ada baiknya sekiranya kita melihat ke hadapan apa jangkaan cabaran yang mungkin dihadapi pada 2025 supaya persediaan sebaiknya dapat dilakukan.

Antara yang banyak diperkatakan ialah tarikh mula persekolahan pada Februari dan jangkaan Hari Raya Puasa pada Mac, dua peristiwa yang tentunya memerlukan perbelanjaan berbanding biasa.

Rasanya belum terlewat untuk kita mula menyimpan dari sekarang.

Selain itu, wujud kebimbangan mengenai kenaikan kos sara hidup, yang mana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pada minggu lalu menetapkan penanda aras baharu bagi Simpanan Asas sebanyak RM390,000, kenaikan lebih 60 peratus berbanding RM240,000 sebelumnya.

Terdapat juga faktor lain seperti penyasaran subsidi bagi RON95 bermula pertengahan tahun depan, dan kenaikan cukai taksiran di Selangor sebanyak 25 peratus bermula 1 Januari, yang semuanya berisiko meningkatkan kos kepada rakyat.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, cabaran utama ekonomi tahun hadapan ada pelbagai.

“Dari segi faktor luaran, dasar tarif import yang bakal dilaksanakan oleh Amerika Syarikat (AS) dilihat sebagai risko utama. Tarif akan meningkatkan kos perniagaan di AS dan menaikkan kadar inflasi.

“Ada yang mengatakan Rizab Persekutuan AS akan mengurangkan momentum pemotongan kadar faedah dan ada yang mengatakan kadar faedah mungkin dinaikkan bagi mengekang risiko kenaikan inflasi.

“Jika ini berlaku, ia boleh membawa kepada pengukuhan nilai dolar AS dan memberi kesan kepada ringgit,” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, perubahan dasar utama seperti rasionalisasi subsidi bahan api RON95 merupakan perkara yang sentiasa diperhatikan kerana pengguna bahan api ini begitu meluas serta kesan inflasi daripadanya adalah sesuatu yang sukar untuk dielakkan.

“Namun, langkah mitigasi telah dilaksanakan seperti peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM13 bilion bagi tahun 2025 berbanding RM10 bilion tahun ini, selain

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang seharusnya sedikit sebanyak membantu.

“Mekanisme pemberian subsidi juga dijangka lebih bersifat bersasar dan perkara ini boleh meringankan bebanan kewangan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, secara umumnya ekonomi Malaysia berada dalam keadaan baik dengan pertumbuhan positif serta kadar pengangguran rendah. Namun, usaha untuk merancakkan aktiviti ekonomi yang bersifat terangkum dan lestari perlu diteruskan.

“Bagi memastikan pertumbuhan berjalan lancar, langkah untuk menerangkan kepada rakyat tentang usaha mereformasikan ekonomi negara perlu diterangkan dengan sejelas-jelasnya serta secara berterusan.

“Perkara ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dan sentimen negatif dalam kalangan rakyat dan para peniaga,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN