Pui Wan, lebih memberi tumpuan kepada realisme dan merakam gaya hidup retro Malaysia dalam bentuk miniatur.

Simpan memori silam dalam bentuk miniatur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMORI berada di kedai runcit milik datuknya pada suatu ketika dahulu sentiasa bermain di fikirannya. Ada kalanya, ia membuatkan pemuda itu rindu untuk kembali ke masa lalu.

Namun, semua itu hanya kenangan dan kedai tersebut telah ditutup kerana saingan hebat daripada kedai serbaneka moden serta keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan.

Menurut Tan Chun Long, awalnya, agak berat buat keluarganya menutup kedai yang diwarisi daripada moyang mereka di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, selepas bapanya terlibat kemalangan pada tahun 2022, kedai tersebut terpaksa menutup operasi.

“Setiap kali cuti sekolah atau hujung minggu, saya akan ikut ayah pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama datuk di kedai runcit.

“Kedai runcit tersebut meskipun sederhana, namun menyimpan banyak kenangan, bukan sahaja buat saya tetapi komuniti di sekeliling yang hidup harmoni,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahnya, sebagai pewaris tunggal kedai tersebut, dia juga agak ralat kerana tidak dapat meneruskan legasi perniagaan berkenaan.

Ini kerana, dia sudah menetap dan bekerja di Kuala Lumpur serta sukar berulang-alik ke Port Dickson.

Bagaimanapun, pada suatu hari, Chun Long terlihat perkongsian tentang diorama miniatur yang dikongsi di akaun Facebook, PicoWorm, sekali gus memberinya idea untuk menghidupkan semula memori kedai runcit itu.

Dia kemudian menghubungi artis miniatur yang dikenali sebagai Pui Wan Lim untuk menempah diorama miniatur kedai tersebut sebelum ditutup sepenuhnya.

“Saya menemui akaun Pui Wan semasa perniagaan kami diambang tutup operasi. Selepas melihat hasil kerjanya, saya berasa jika suatu hari kedai kami tiada lagi, ada sesuatu yang disimpan untuk memastikan memori ini kekal hidup.

“Proses menyiapkan miniatur kedai ini mengambil masa selama setahun.

“Malah, Pui Wan juga sanggup datang ke Port Dickson dari Johor semata-mata untuk melihat sendiri keadaan kedai supaya dapat menghasilkan model yang persis dengan keadaan sebenar,” ujarnya.

Ujarnya, model miniatur kedainya siap pada tahun sama kedai tersebut ditutup, dan sehingga kini masih disimpan sebagai tanda kenangan.

Untuk makluman, diorama miniatur ialah replika sesuatu situasi atau pelan yang dihasilkan dalam model tiga dimensi dengan saiz mini.

Ia biasanya menjadi bahan pameran di muzium. Malah di Malaysia, terdapat sebuah muzium miniatur, MinNature Malaysia yang mempamerkan replika mini tentang sejarah dan bandar-bandar utama di negara ini.

Menghasilkan diorama atau miniatur sering dilakukan oleh penggemarnya sebagai hobi terutama berkaitan pemodelan kenderaan tentera, pemodelan patung kecil atau model pesawat.

Bagi Pui Wan, 31, dia mula membuat miniatur sebagai hobi ketika berusia 14 tahun dengan menggunakan bahan-bahan yang diperolehi di sekitar rumahnya.

“Awalnya, saya tertarik untuk memulakan hobi ini kerana pengaruh kakak yang suka mengumpul item miniatur. Sejak itu, saya cuba mencari bahan tentang cara untuk membuatnya.

“Saya bermula dengan belajar sendiri menerusi pembacaan buku seperti Jean Kuo’s Dollhouse: Tiny World of Miniature dan blog atau forum artis-artis seni dari Jepun serta Taiwan.

MINIATUR sebuah kedai runcit lama yang dihasilkan oleh Pui Wan.

“Ini membawa kepada pembuatan miniatur pertama saya menggunakan bahan di sekitar rumah,” kongsinya yang mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Katanya, minat yang berawal daripada hobi itu kemudian berkembang kepada keinginannya untuk mengekalkan kenangan.

Padanya, miniatur menawarkan cara unik untuk menyentuh dan melihat gambaran nyata detik-detik yang dihargai.

Kongsi Pui Wan, profilnya sebagai artis miniatur lebih memberi tumpuan kepada realisme dan merakam gaya hidup retro Malaysia, termasuk kedai gunting rambut tradisional, kopitiam dan kedai runcit klasik.

Melalui replika miniaturnya, Pui Wan mengekalkan amalan budaya yang semakin hilang dan mempamerkan pelbagai senario dalam masyarakat Malaysia.

“Dalam pembuatan miniatur, saya banyak belajar daripada percubaan, kesilapan dan pemerhatian pada setiap pertandingan, mahupun perjalanan melawat ke lokasi-lokasi percutian di dalam serta luar negara.

“Setiap penghasilan miniatur mengambil kira nisbah yang tepat untuk setiap bentuk model.

“Ia bagi memberikan efek keaslian seperti situasi sebenar. Sebagai contoh di sebuah kedai kopi, saiz meja, kaunter dan pinggan mangkuk perlu realistik seperti dalam premis fizikal,” jelas pemuda yang aktif menyertai pelbagai pertandingan seni miniatur sejak di universiti.

Kongsinya lagi, miniatur boleh dibuat menggunakan apa sahaja bahan untuk menghasilkan subjek seperti gabus, kayu atau besi bagi menghasilkan hasil realistik sesuatu item.

Jelas Pui Wan, miniatur bergantung kepada kreativiti individu dan ketelitian mereka dalam menghasilkan setiap item.

Biasanya, bentuk diorama bergantung kepada permintaan pelanggan atau ilham seorang artis.

Proses pembuatan miniatur juga boleh mengambil masa antara beberapa minggu hingga setahun bergantung kepada saiz dan sejauh mana kompleks sesuatu senario itu.

Berkongsi tentang nilai estetik sebuah miniatur, Pui Wan memberitahu, diorama miniatur biasanya digunakan sebagai bahan pameran.

Namun katanya, kini ramai yang inginkan hasil seni tersebut untuk simpanan sendiri atau dihadiahkan kepada orang tersayang.

“Saya memilih seni miniatur kerana ia merupakan cara terbaik untuk saya membantu mereka yang ingin menyimpan memori dalam bentuk fizikal.

“Zaman akan berubah dan persekitaran juga akan melalui transformasi.

“Jadi, menerusi miniatur, kenangan dapat kekal hidup dalam versi mini sebuah diorama,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN