fbpx
KEJADIAN sumbang 'ke laut dalam' sehingga memecahkan gegendang telinga khalayak ketika menyanyikan lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia tidak membuatkan The Gadys menoktahkan kerjaya nyanyian, sebaliknya tetap optimis sehingga terhasilnya single baharu bertajuk Bullseye.

‘Vokal lemah, kami tak jemu baiki diri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN satu hal yang manis untuk diingat, tetapi insiden suara sumbang pada Februari lalu membuatkan hubungan sesama ahli kumpulan

The Gadys semakin utuh. Berhadapan dengan serangan kecaman warga maya, biarpun tidak berdarah tetapi peristiwa hitam tersebut tetap kekal menjadi sejarah yang tidak dilupakan.

Bagaimanapun anggota The Gadys iaitu Thamiera Chan, Ayunie Rizal dan Aznie Azmi tidak tewas di medan pertempuran. Masing-masing membulatkan hati untuk meneruskan perjuangan dan memperjudikan nasib sebagai anak seni.

Buktinya The Gadys hadir dengan lagu baharu bertajuk Bullseye, sebuah refleksi atas apa yang berlaku terhadap mereka sepanjang tahun ini.

Dihasilkan oleh Romeo dan Shane Kennedy, lagu Bullseye merupakan sebuah single sarat semangat dan keyakinan.

Kata Ayunie, Bullseye membuka cabang genre muzik baharu, sekali gus membawa mereka keluar dari zon selesa.

Ritma muzik mereka yang kebanyakan menjurus ke arah dangdut kini sudah bertukar arah.

“Memang kami puas hati dengan lagu ini sebab sebelum ini lebih berentak dangdut pop. Jadi kali ini tampil dengan kelainan dan tidak lagi berada di dalam relung selesa.

ANGGOTA The Gadys yang terdiri daripada Thamiera Chan, Ayunie Rizal dan Aznie Azmi tetap optimis memberikan yang terbaik buat peminat. – IHSAN UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA

Semangat

“Diharapkan lagu ini mendapat sambutan baik daripada peminat. Lagu ini juga menggambarkan tentang perjuangan dan semangat kami dalam industri,” katanya saat mengulas tentang kejadian menyanyikan lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia pada Anugerah KNKV Viral 2024.

Luah Aznie, lagu Bullseye menguji kemampuan nyanyian mereka, sekali gus meningkatkan kualiti vokal, terutama saat membuat persembahan secara langsung.

“Awalnya kami agak terkejut apabila mendapat lagu ini. Sejujurnya membawakan lagu ini agak mencabar kerana ada lirik dalam bahasa Inggeris dan setiap sebutan itu perlu jelas.

“Sebelum membuat rakaman di studio, kami mengambil masa sekitar sebulan lebih menghadiri kelas vokal bersama Cikgu Dally.

“Kami akan terus berlatih sehinggalah guru vokal benar-benar yakin bahawa kami sudah bersedia untuk membuat rakaman. Sewaktu rakaman juga cikgu ada bersama membantu sepanjang proses rakaman,” jelas Aznie bersungguh-sungguh.

Insiden suara sumbang juga telah menjadi pemangkin buat The Gadys untuk sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.

Menurut Ayunie, proses belajar vokal bukan sahaja mencambahkan keyakinan, tetapi turut membina semangat agar tidak mudah mengalah dalam mengejar cita-cita sebagai penyanyi.

“Penerangan cikgu juga jelas dan terperinci meskipun pada awalnya sukar untuk difahami, tetapi akhirnya saya okey.

“Cikgu tidak garang dan bukan jenis marah-marah. Apabila saya salah dan tidak faham, cikgu tetap sabar,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kelas vokal yang diambil dibuat sebanyak tiga kali seminggu membantu mereka untuk membuat transisi menjadi lebih baik.

Biarpun masih dalam proses pembelajaran, The Gadys tetap optimis dan tidak mudah mengalah.

“Tidak dinafikan vokal kami memang lemah, tetapi kami tetap berusaha untuk memperbaiki dan berikan yang terbaik.

“Memang masih banyak lagi yang perlu dipelajari, tetapi kami tidak jemu untuk memperbaiki diri agar perkara sama itu tidak berulang,” katanya.

SINGLE Bullseye menjadi karya ketujuh kumpulan The Gadys.

Luar negara

Biarpun mengambil kelas vokal, tetapi Ayunie mengakui The Gadys masih memerlukan banyak latihan bagi membentuk kekuatan agar dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Bukan bertujuan untuk bersaing dengan sesiapa, The Gadys sebaliknya menjadikan kejayaaan masuk ke pasaran luar sebagai pemicu semangat untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri hiburan.

“The Gadys belum cukup ilmu untuk membuat persembahan di luar negara. Banyak lagi yang kami perlu dipelajari dan perjalanan ke arah itu masih jauh. Jika ada peluang kami tidak teragak-agak untuk mencuba.

“Perasaan gementar itu ada dan kami tertanya-tanya bagaimana mereka boleh melakukannya. Apabila kami sudah bersedia nanti, insya-Allah bagi akan berikan yang terbaik dan tidak menghampakan,” jelas Ayunie dengan penuh semangat positif.

The Gadys juga terbuka apabila ada pihak yang membandingkan mereka dengan kumpulan lain seperti Dolla. Mereka juga tidak terkesan dengan kritikan netizen yang dilihat masih tidak henti mencari hal untuk diperbandingkan.

Kata Aznie, biarpun mereka terlahir sebagai penyanyi berkumpulan wanita, masing-masing tetap mempunyai hala tuju muzik dan corak perjuangan berbeza.

“Masih ada lagi ke yang membandingkan kami?. Kami mengambil pendekatan terbuka dan tidak kisah apa yang dikatakan.

“Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. Mungkin ada dalam komen perbandingan itu dapat membantu kami untuk memperbaiki kekurangan.

“Bahkan ada juga peminat yang mengkritik muzik video Bullseye yang dikatakan tidak mempunyai tarian.

“Itu keputusan pihak pengurusan dan kami hanya mengikut saja. Tetapi kalau peminat inginkan tarian, mungkin boleh cipta trend tarian dalam media sosial dan kongsikan kepada kami,” terangnya.

BAGI The Gadieys, Bullseye cerminan proses perjalanan kerjaya yang pernah berhadapan kecaman, namun tetap berani meneruskan perjuangan sebagai penyanyi.

Kritikan

Saat radar cerita beralih kepada kritikan, Aznie sedar perkara itu telah mengeratkan hubungan sesama ahli. Komunikasi menjadi kekuatan mereka dan saling bercerita tentang apa yang terbuku dalam hati.

Biarpun hal sekecil hama, mereka bertiga tetap berbicara agar isu sebegitu tidak menjadi punca permasalahan pada masa akan datang.

“Komen negatif membuatkan kami saling menyokong. Seboleh-bolehnya kami tidak akan berdiam diri daripada membincangkan hal yang boleh membantu kumpulan untuk lebih ke hadapan.

“Sesekali bergaduh memang ada. Maklum adat apabila kita bekerja sebagai satu kumpulan, tetapi perselisihan faham itu tidak berlarutan sehingga kami saling masam muka atau tak bertegur sapa.

“Selalunya saya dan Ayunie akan bertengkar tentang hal kerja dan bukan soal peribadi. Selalunya Thamiera akan menjadi orang tengah dan membantu kami mencari titik persefahaman,” katanya dalam nada berseloroh.

Selain anggota kumpulan, beberapa rakan artis juga ada yang tampil memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

“Ketika kami teruk dikecam, memang ada ramai kenalan artis yang menghubungi dan bertanyakan tentang kami. Mereka memberi nasihat dan kata-kata semangat tentang apa yang berlaku,

“Kalau boleh biarlah hanya kami sahaja yang mengetahui siapa artis tersebut. Kami memang menghargai setiap sokongan kenalan artis,” ujarnya.

Tidak terkecuali Thamiera meletakkan harapan agar setiap komen dan sokongan yang diterima mereka dapat membuka lebih peluang pada masa akan datang.

“Kami mengharapkan lagu Bullseye ini akan menjadi permulaan baharu pada 2025. Memandangkan lagu ini juga menceritakan tentang kami yang baharu,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN