SAUDARA PENGARANG,
Sebagai seorang guru, saya sering kecewa melihat perubahan sikap murid-murid zaman sekarang. Ramai yang datang ke sekolah tanpa semangat, seolah-olah belajar bukan lagi satu keutamaan dalam hidup mereka.
Adab yang sepatutnya menjadi tunjang peribadi, semakin terpinggir. Ada yang memberikan jawapan merapu dalam peperiksaan, malah ada yang sengaja meninggalkan kertas kosong tanpa usaha. Ini benar-benar menyedihkan hati.
Mana pergi usaha mu wahai anak murid ku? Mana pergi adab mu dalam menimba ilmu? Adakah ilmu bukan lagi sesuatu yang bernilai di zaman serba canggih ini?
Teknologi yang sepatutnya membantu sering disalah guna. Mereka lebih teruja dengan hiburan daripada menggunakan teknologi untuk meningkatkan pembelajaran.
Terkadang, saya tertanya-tanya. Adakah kami sebagai seorang guru gagal dalam mendidik mereka? Atau mereka yang memilih untuk tidak dididik oleh kami?
Bayangkan betapa hancurnya hati melihat helaian kertas peperiksaan yang tidak dijawab dengan baik, malah diconteng dan ditulis dengan bahasa yang tidak sopan.
Namun, sebagai guru, saya sentiasa berdoa semoga semua murid-murid mencapai apa yang mereka impikan dan menjadi manusia yang lebih berjaya suatu hari nanti.
SAERAH
Pendidik Skudai














