KENAKALAN kanak-kanak dan remaja pada era globalisasi boleh dikatakan agak melampau berbanding sebelum ini.
Isu ‘kehilangan’ dengan faktor lari dari rumah khususnya sering dilaporkan media setiap bulan.
Jiwa mereka cepat memberontak mahu mencari kebebasan selain apabila ditegur akan melenting dan akhirnya merajuk membawa diri keluar dari rumah.
Tidak kurang juga yang mengikuti atau terpengaruh kawan, seterusnya mengkhianati kebebasan yang diberikan ibu bapa.
Apa lagi yang ibu bapa tidak bagi? Semua sudah diberikan dengan cara yang terbaiknya demi kemudahan anak-anak.
Menyoroti dalam aspek perasaan anak-anak, pakar psikologi, Dr. Meriam Omar Din memaklumkan, secara fitrah anak-anak yang menginjak remaja mahu peranan mereka dititikberatkan terutama dalam aspek komunikasi terbuka berhubung permasalahan dihadapi mereka.
Katanya, dalam usia remaja anak-anak akan mula bertukar fasa psikologi dalam mencari identiti mereka yang kadangkalanya akan membangkitkan konflik dalaman dan luaran.
“Memang benar, generasi ketika ini hatinya terlampau ‘tisu’ dan amat sensitif dengan teguran negatif yang merendahkan dirinya.
“Cumanya, zaman sekarang ada media sosial dan mungkin mereka juga mahu meniru perlakuan lari rumah terutama apabila berdepan tekanan hidup atau faktor penagihan dadah yang boleh menyebabkan tingkah laku tidak waras ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sehubungan itu, katanya, mahu atau tidak sebenarnya berlaku ‘pantang larang’ dalam didikan anak-anak selaras dengan peredaran zaman demi menjaga keharmonian golongan itu.
Ujar Meriam, sokongan emosi amat diperlukan dan sekiranya tidak difahami boleh membuatkan mereka memberontak akibat daripada perubahan sistem pemikiran yang kurang matang.
“Jadi, ibu bapa perlu tahu membezakan cara didikan kanak-kanak dan remaja. Namun, terjadi apabila segelintir kita terlalu mengikut kaedah lama.
“Contohnya, kalau kita sendiri mempunyai ibu bapa yang garang atau asyik maki hamun, secara semulajadinya mereka akan mengikuti jejak langkah sama.
“Justeru, kalau ibu bapa itu mahu menukarnya, perlu ada didikan dan latihan keibubapaan terutama remaja belasan tahun yang sangat sensitif tentang perhubungan dengan ibu bapa. Namun, persoalannya sejauh mana kita mahu mengikuti sesebuah kelas sekiranya diadakan,” katanya.














