KUALA LUMPUR – Tuah tidak menyebelahi beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah apabila tersingkir di peringkat kumpulan pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China.
Pada aksi kedua Kumpulan A hari ini, bekas juara Terbuka Perancis itu terpaksa akur tewas 19-21, 19-21 kepada Treesa Jolly-Gayatri Gopichand dari India dalam perlawanan yang memakan masa 46 minit.
Keputusan tersebut boleh dianggap mengejutkan memandangkan Pearly-Thinaah pernah menewaskan beregu India itu sebanyak enam kali dalam tujuh pertemuan sebelum ini dengan dua perlawanan terakhir turut dimenangi pasangan negara.
Kekalahan itu sekali gus menamatkan cabaran beregu No.6 dunia berkenaan memandangkan mereka juga tewas dalam perlawanan pertama semalam ketika tunduk 21-13, 17-21, 18-21 kepada pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah mengulangi pencapaian sama seperti dua edisi sebelum ini, iaitu pada 2021 dan 2022 di mana mereka gagal meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati.
Menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan esok, mereka akan turun pada perlawanan pelengkap jadual menentang wakil tuan rumah, Liu Sheng Shu-Tan Ning. – KOSMO! ONLINE