KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan diminta untuk mengeluarkan kenyataan segera bagi memberi penjelasan berkaitan hukum syarak menyimpan dan membekukan mayat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung perkara tersebut.
“Kita dah bincang perkara ini dalam mesyuarat sebelum ini dan saya dah minta Datuk Dr. Luqman Abdullah untuk mengeluarkan pandangan.
“Walaupun insiden itu berlaku di Selangor, namun tak salah Mufti Wilayah Persekutuan untuk mengeluarkan pandangan umum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Bajet Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial kes melibatkan mayat seorang bayi lelaki yang dibekukan selama lebih dua minggu oleh sebuah hospital swasta di Selangor.
Kejadian itu didakwa berlaku berpunca apabila bapa bayi berkenaan dikatakan tidak mampu membayar bil bagi caj kelahiran anaknya.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, beliau juga sudah meminta kerjasama daripada semua mufti negeri untuk mengeluarkan pandangan umum bagi sebarang isu melibatkan hukum.
“Bila mana ia melibatkan persoalan hukum, masyarakat akan tertanya-tanya. Jadi, dengan kuasa yang ada, mereka (boleh) keluarkan pandangan hukum dengan segera,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, kata Mohd. Na’im, Skuad Jejak Asnaf MAIWP sudah mengenal pasti keluarga tersebut dan akan memberikan bantuan dengan kadar segera. – KOSMO! ONLINE