PETALING JAYA – “Dengan baki RM200 dalam akaun bank, siapa sangka itu titik permulaan rezeki yang tidak disangka-sangka.”
Demikian perkongsian seorang pengguna TikTok, Izzati Lokman mengenai ‘perjalanan’ dalam melunaskan hutang pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Menurut Izzati, selepas menamatkan pengajian di United Kingdom (UK), dia menaruh keyakinan tinggi bahawa akan dapat pekerjaan dengan begitu mudah
Namun nasib tidak menyebelahinya apabila permohonan kerja yang dibuat di syarikat-syarikat terkemuka ditolak.
“Enam bulan saya menganggur, depan laptop (komputer riba) setiap hari mencari kerja. Tetapi dalam tempoh itu, Allah rezekikan saya jaga nenek, mandi dan teman nenek berbual,” katanya.
Izzati kemudian menerima surat merah daripada Mara yang menuntut bayaran balik hutang pendidikan tersebut.
“Saya jumpa seorang pegawai yang sangat tegas. Dia tidak mahu bincang dan arahkan saya mohon pengurangan hutang dulu. Semasa itu saya keliru dan buntu,” katanya.
Namun, pertemuan dengan seorang pegawai lain yang menasihatkan Izzati untuk melangsaikan hutangnya walaupun dalam jumlah yang sedikit dengan keyakinan tinggi bahawa Allah akan membuka jalan.
“Saya bayar RM800, tinggalkan RM200 dalam akaun. Sejujurnya saya takut, tapi hati saya rasa tenang selepas itu,” katanya.
Tidak lama selepas itu, Izzati dipanggil menghadiri beberapa temuduga sebelum berjaya menerima tawaran daripada sebuah syarikat besar dengan gaji dan pekerjaan yang diimpikan.
“Bayar hutang memang berat, tapi ia tanggungjawab. Saya belajar bahawa keberkatan bermula dengan melakukan perkara yang sepatutnya,” katanya yang berjaya melangsaikan hutangnya sepenuhnya selepas 10 tahun. – KOSMO! ONLINE