ALOR SETAR – Kemasukan penuntut ke Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) meningkat setiap tahun, sekali gus mencerminkan impak institusi pengajian tersebut dalam dunia pendidikan khususnya di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor yang juga Presiden AIU, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd. Saleh Jaafar berkata, sehingga kini seramai 1,695 penuntut dari 60 negara mendaftar masuk ke AIU dengan 82 peratus daripadanya adalah pelajar antarabangsa.
“Kalau kita lihat dalam majlis konvokesyen ini kebanyakan graduan memperoleh kelas pertama dan kelas kedua teratas cuma sedikit kelas kedua bawah serta tiada langsung kelas ketiga.
“Kualiti graduan ini kita percaya hasil daripada pembangunan karakter di samping akademik dan kecemerlangan ditunjukkan dalam khidmat komuniti,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen AIU Keempat di kampusnya, di sini hari ini.
Seramai 219 graduan daripada 23 negara merangkumi sembilan program sarjana muda menerima skrol masing-masing hari ini yang disampaikan oleh Pro Canselor AIU, Sonny Bill Williams yang juga bekas pemain ragbi All Blacks.
Mohd. Salleh menambah, AIU turut memperoleh beberapa pencapaian yang signifikan termasuk Affiliating Institution Award for 3Zero Clubs tahun ini yang memberi nilai tambah kepada pencapaiannya di peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE