KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima zakat perniagaan berjumlah RM27,560,083.68 daripada 21 syarikat korporat bagi haul 2023 dan 2024.
Penyerahan zakat perniagaan itu disampaikan oleh wakil syarikat kepada wakil PPZ-MAIWP pada Majlis Zakat Korporat 2024 disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Mohd. Na’im berkata, kutipan zakat perniagaan PPZ-MAIWP meningkat 2.6 peratus dalam tempoh Januari hingga November 2024 dengan jumlah keseluruhan RM123,766,691.87 berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
“Peningkatan ini bukan sahaja menunjukkan kesedaran, tetapi yang penting kepercayaan daripada syarikat untuk menyumbang zakat melalui PPZ-MAIWP.
“Menghampiri penghujung tahun ini, saya yakin dan percaya angka ini akan terus meningkat dan turut mendoakan agar PPZ-MAIWP mampu mencapai sasaran RM1.1 bilion,” katanya berucap pada majlis tersebut di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Beliau berkata, untuk keseluruhan kutipan zakat PPZ-MAIWP bagi tempoh
Januari hingga November 2024 pula mencatatkan RM818 juta,
meningkat 8.8 peratus berbanding RM751 juta dikutip dalam tempoh sama pada tahun lalu.
“Baru-baru ini PPZ-MAIWP telah melancarkan Kempen Year End Zakat 2024 dengan membawa tema Bahagia Memberi.
“Dalam konteks zakat, definisinya ialah rasa bahagia itu pasti akan hadir apabila kita membahagiakan insan lain dengan memberi dan berkongsi rezeki melalui ibadat zakat dan sedekah,” ujarnya.
Terdahulu, zakat perniagaan tersebut disampaikan oleh wakil syarikat kepada Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin. – KOSMO