fbpx
Pertunjukan Kase Seka berasaskan tarian seka dipersembahkan di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Gerak tari fusion berteras tarian seka Papua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GERAK tari penuh bertenaga yang dipersembahkan lima orang penari dalam pertunjukan tarian bertajuk Kase Seka di Panggung Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini berjaya memukau penonton yang hadir.

Gerak badan yang kelihatan seperti satu eksplorasi tubuh yang ditampilkan bersama riak wajah yang serius itu berasal daripada tarian seka oleh suku Kamoro di bandar Kaimana dan kini dipraktikkan di seluruh Papua Barat dan Papua Barat Daya.

Bagi sesetengah individu yang menonton persembahan tarian, mereka mungkin melihatnya sebagai satu bentuk hiburan.

Namun, bagi mereka yang cukup menghargai dan meminati seni itu, tarian sebenarnya boleh menjadi cara seseorang untuk menyampaikan sesuatu mesej atau cerita.

Seorang penonton pertunjukan Kase Seka, Nadiah Abdullah, 25, menyifatkan persembahan itu sebagai sesuatu yang unik dan tidak pernah ditontonnya sebelum ini.

“Saya sememangnya suka melihat persembahan tarian, lebih-lebih lagi jika tarian itu merupakan sesuatu yang tidak pernah saya lihat.

“Kase Seka bagi saya merupakan satu persembahan unik kerana gerak tarinya penuh dengan elemen penceritaan,” katanya.

Gerak tari seka yang melibatkan pergerakan badan, tangan dengan paduan kaki melambangkan penyucian dan juga ucapan selamat datang.

Istilah seka berasal daripada kata wneysyeka yang bererti menyanyi dan melangkah dengan menggerakkan kaki.

Pertunjukan Kase Seka diadakan bersempena festival Kreatif KL anjuran Think City yang bertujuan memperkenalkan kepelbagaian budaya ke dalam ibu kota Kuala Lumpur, menjadikan bandar itu sebagai hab dan destinasi kebudayaan bertaraf dunia.

Kase Seka merupakan satu pertunjukan tarian fusion gabungan tarian kontemporari dan tarian tradisional iaitu seka. Apa yang menarik, Kase Seka dikoreografikan oleh anak kelahiran Kalimantan, Indonesia iaitu Eko Supriyanto yang merupakan nama besar dalam dunia tarian antarabangsa.

Eko merupakan koreografer bertaraf dunia apabila sudah melatih ribuan penari profesional dari seluruh Indonesia dan juga pernah menjadi koreografer untuk penyanyi Hollywood, Madonna bagi konsert jelajah ‘Drowned World’ lebih 20 tahun lalu.

Teruja apabila dapat mempertontonkan karya terbaharunya itu di Kuala Lumpur pada 23 November lalu, Eko berkata, tarian merupakan cara dia berinteraksi dengan orang ramai tanpa menggunakan perkataan.

Tarian turut dipersembahkan dengan riak wajah yang serius.

“Saya amat tertarik kepada tarian kerana bagi saya, ia adalah cara saya menterjemah emosi, cerita dan idea tanpa menggunakan perkataan.

“Selain itu, saya amat sukakan proses mencipta sesuatu. Koreografi menawarkan peluang buat saya untuk menjadi seorang artis dan tukang cerita.

“Menerusi koreografi, saya boleh mencipta sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini dan mempersembahkannya di atas pentas,” katanya kepada K2.

Menyentuh latar belakang hidup Eko, bakat tarian yang ada dalam dirinya merupakan sesuatu yang diwarisi memandangkan datuk Eko merupakan seorang penari pada tahun 1960-an.

Datuk menjadi individu yang melatih Eko menari, sebelum Eko menyambung pengajian di Institut Seni Indonesia, Surakarta yang seterusnya membina lagi kefahamannya dalam seni tari.

Antara elemen yang barangkali membezakan Eko dengan koreografer lain seumpamanya adalah usaha berterusannya memasukkan budaya Indonesia dalam setiap karya tariannya.

Ujar lelaki berusia 55 tahun itu, budaya Indonesia memainkan peranan cukup signifikan dalam setiap karya dan mempengaruhi tema yang digunakan dalam menyampaikan mesej.

“Dalam mengintegrasikan elemen tradisional dan kontemporari, saya sering mengambil inspirasi daripada seni dan sejarah Indonesia seperti tarian tradisional dan lagu rakyat, lalu menggabungkannya dengan teknik dan tema moden.

“Fusion ini membolehkan saya menghubungkan masa lalu dengan masa kini, bagi memastikan budaya itu dipelihara, namun masih kekal relevan bagi penonton kontemporari,” jelasnya.

Bercerita tentang perjalanan seninya, Eko berkata, sama seperti penari lain, dia bermula sebagai penari, sebelum mula menghasilkan koreografi sendiri menerusi projek berskala kecil.

Eko membina kefahaman yang lebih mendalam terhadap cara mengekspresi emosi dan idea menerusi tarian, sebelum mula belajar daripada mentor-mentor berpengalaman.

“Saya kemudian hasilkan karya sendiri, seterusnya karya buat penari lain.

“Dari situ, saya mula menjadi pengarah persembahan dan terlibat dalam kerja-kerja mengurus penari dan memantau semua proses kreatif dalam sebuah persembahan.

“Dari situ juga, saya mula mendapat jemputan hasilkan koreografi bagi syarikat besar, festival dan mula jalin pelbagai kerjasama yang seterusnya menjadikan nama saya semakin dikenali dalam komuniti tarian,” katanya.

Perjalanan Eko sehingga ke tahap ini juga telah mendorongnya untuk sentiasa memastikan setiap karyanya bukan hanya bermanfaat kepada dirinya sendiri, tetapi juga bermanfaat kepada penari dan juga komuniti tempatan.

Akuinya, dia seronok jika dapat membantu orang awam memahami konsep yang kompleks kerana ia membantu seseorang berfikir secara kritis.

“Jika ditanya tentang satu karya saya yang paling memberi makna, jawapan saya adalah semua karya yang saya hasilkan memberi makna bukan sahaja kepada saya tetapi juga orang lain.

“Kepada para penari pula, saya seronok dapat membantu proses pembelajaran mereka, menjelaskan keraguan dalam diri mereka dan melihat sendiri bagaimana mereka dapat mengatasi cabaran dalam tarian.

“Ia bermakna bagi saya kerana proses tersebut sejajar keinginan saya untuk memupuk pengetahuan dan meningkatkan kehidupan melalui ilmu. Proses itu juga mempunyai kesan jangka panjang bukan sahaja kepada individu itu sendiri bahkan juga komuniti apabila mereka berkongsi dan mempraktik apa dipelajari,” kongsinya panjang lebar.

Eko berkata buat masa ini, dia berhasrat untuk mempersembahkan Kase Seka yang merupakan karya terbaharunya itu ke pentas dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN