KUALA LUMPUR – Pelakon Trisha Ooi mencipta sejarah peribadi apabila berjaya merangkul gelaran Pelakon Wanita Harapan menerusi filem Janna Endoro pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).
Menurut Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 25, anugerah tersebut membawa makna besar dan menjadi satu tanggungjawab untuk dirinya terus memberikan yang terbaik dalam dunia lakonan.
“Minta maaf, saya agak gementar. Saya ingin mengucapkan syukur dan terima kasih kepada ibu saya di rumah serta produksi yang percayakan bakat saya.
“Anugerah ini merupakan tanggungjawab yang lebih besar buat saya,” katanya dalam ucapan penuh emosi di atas pentas.
Trisha berjaya menewaskan empat lagi pelakon wanita hebat iaitu Harissa Adlynn (The Lord Musang King), Teoh Ying Pei (The King Of Musang King), Zera Hariz (Syif Malam), dan Takahara Suiko (Imaginur).
Ini merupakan kemenangan pertama Trisha dalam karier lakonannya sejak mula menceburi industri seni.
Filem Janna Endoro membawa kelainan tersendiri apabila mengetengahkan seorang wanita, Janna, sebagai watak utama atau hero, sesuatu yang jarang berlaku dalam industri hiburan tanah air.
Trisha melakonkan watak tersebut bersama barisan pelakon hebat seperti Pekin Ibrahim dan Wan Hanafi Su.
Filem itu menampilkan elemen-elemen kebudayaan Kelantan seperti seni mempertahankan diri Tomoi dan Muay Thai, seni persembahan Dikir Barat, Rambong, dan Main Puteri, selain menonjolkan keindahan Wat Siam.
Gabungan elemen ini memberikan nafas segar dan keunikan kepada filem tersebut.
Dengan kemenangan ini, Trisha dilihat sebagai bintang baharu yang mampu membawa nafas baharu kepada industri perfileman tanah air. – KOSMO! ONLINE.