KUALA LUMPUR – Sebuah restoran berbeku di Klang yang diserbu kerana menggunakan peralatan hidangan bercirikan unsur komunis menjadikan elemen itu sebagai strategi pemasaran untuk menarik pelanggan terutama warga China.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan awal menunjukkan taktik itu digunakan pemilik restoran sebagai cara untuk memberikan pengalaman menyerupai suasana di kampung halaman mereka.
Katanya, barangan seperti mangkuk, cawan dan sudu dengan cetakan gambar Mao Zedong, bekas Presiden Komunis China dipercayai dibeli secara dalam talian oleh teman lelaki pemilik restoran tersebut yang kini berada di China.
“Peralatan itu digunakan di restoran sejak mula beroperasi. Setakat ini, hanya seorang individu yang juga pengurus restoran berusia 20 tahun ditahan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Razarudin turut mengesahkan bahawa semakan awal mendapati restoran itu memiliki lesen sah dikeluarkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Bagaimanapun, pihaknya akan membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan lain.
Kelmarin, polis menyerbu sebuah restoran berbeku di Klang selepas disyaki mempromosi elemen budaya komunis melalui peralatan hidangan yang memaparkan gambar pemimpin komunis terkenal.
Serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Klang Selatan pada pukul 10 malam selepas menerima maklumat berdasarkan video tular di akaun YouTube ‘Luiswong90’.
Seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga pengurus restoran ditahan. Dalam serbuan itu, sebanyak lima mangkuk seramik dengan tulisan bahasa Cina dan gambar disyaki muka Mao Zedong bersama rakannya dirampas.
Turut dirampas, satu cawan kaca teh seramik warna putih berjalur biru tercatit tulisan Cina dan gambar beberapa individu. Selain itu tiga sudu sup seramik warna putih berjalur biru terdapat gambar disyaki Mao Zedong turut dirampas.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 dan 505(b) Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE.