PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal melakar sejarah tersendiri menerusi projek Pendakian Amal Bomba de Everest ‘Mencari Hati Emas’ 2025 tahun depan.
Projek yang julung-julung kalinya ini akan dilakukan Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa yang bertugas di Pangkalan Udara Wilayah Tengah (JBPM), Subang Jaya.
Mohd. Fakhrul Munir atau dikenali sebagai Loe mengakui dia kini boleh menarik nafas lega selepas kerja keras yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu mula membuka mata banyak pihak.
Lebih manis, projek Pendakian Amal Bomba de Everest ‘Mencari Hati Emas’ 2025 turut mendapat sokongan penuh daripada Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
“Pendakian ini bukanlah satu cabaran yang mudah kerana melibatkan beberapa fasa dan rintangan yang cukup ekstrem terutamaya berkaitan keupayaan adaptasi cuaca yang tidak menentu, suhu yang boleh menjunam naik sehingga negative 40 darjah Celcius serta ancaman acute mountain sickness yang boleh membahayakan keselamatan dan nyawa.
“Kami keluarga besar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa berdiri teguh di belakang anda. Kami percaya dengan semangat yang tidak luntur, anda akan berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest dan mengharumkan nama jabatan serta negara tercinta.
“Semoga dipermudahkan pendakian oleh Allah SWT supaya untuk kita sama-sama khususnya mencipta sejarah dan memberi inspirasi kepada semua,” kata Nor Hisham semasa berucap pada Majlis Pelancaran Bomba de Everest sempena Perhimpunan Bulan November 2024 JBPM di Putrajaya pada 2 Disember lalu.
Sementara itu, Mohd. Fakhrul Munir berkata, selain menambah dana tabung kebajikan anggota bomba, beliau juga berhasrat untuk menjadikan bomba sebagai pasukan badan beruniform negara yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak, sekali gus membuktikan pasukan badan beruniform di Malaysia setanding dengan pasukan-pasukan badan beruniform negara maju yang lain.
“Projek pendakian ke puncak gunung ketinggian 8,848 meter dari aras laut ini adalah atas kerelaan saya sendiri rentetan daripada projek kayuhan solo berbasikal sejauh 2,400 kilometer serta melawat 105 balai bomba dan penyelamat di Semenanjung pada tahun 2020.
“Projek anjuran bersama Kelab Kembara Kosmopolitan, Gedung Penawar Sdn. Bhd., dan Kumpulan AL Baghdadi Group Sdn, Bhd., ini bertujuan menambah dana untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba,” katanya.