SUNGAI PETANI – Seorang peniaga wanita didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki sebanyak 146 unit peralatan lucah berupa alat mainan seks Jun lalu.
Tertuduh, Ch’ng Ling Yeen, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Ling Yeen turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan. Tertuduh membayar denda tersebut.
Ibu kepada dua anak itu didakwa memiliki peralatan lucah di sebuah premis perniagaan di Taman Petani Jaya, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari, 13 Jun lalu.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfarahazlinda Zahari yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memberitahu ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya.
“Dua anak tertuduh masih bersekolah selain perlu menyara ibu dan ibu mentua yang mempunyai masalah kesihatan. Dia menjalankan perniagaan tersebut untuk membantu perniagaan suami yang semakin merosot,” katanya.
Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri, Mohd Khairul Azhar Shuaib bagaimanapun mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran dan untuk kepentingan awam. – KOSMO! ONLINE