IPOH – Pakar Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie tidak meninggal dunia serta-merta selepas kejadian pelanggaran berlaku.
Dr Ain Nurfarahana Hamdan, 35, yang juga saksi pendakwaan ke-24 itu juga bersetuju dengan cadangan M. Athimulan bahawa mangsa meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas pelanggaran.
Malah, beliau juga bersetuju yang mangsa mengalami ‘trauma death’ sebelum meninggal dunia.
Athimulan: Boleh saya beritahu, sebelum Muhammad Zaharif meninggal dunia, dia mengalami trauma?
Dr Ain Nurfarahana: Ya.
Athimulan: Setuju dengan saya bahawa ‘trauma death’ boleh dicegah dengan menyediakan fasiliti dan akses rawatan yang betul, cepat dan efektif kepada orang yang cedera? Dr Ain Nurfarahana: Secara amnya saya setuju.
Athimulan: Adakah kes ini ‘trauma death’? Dr Ain Nurfarahana: Ya.
Athimulan: Oleh kerana kes ini ‘trauma death’, kecederaan-kecederaan yang terdapat pada badan mangsa mestilah berpadanan dengan kerosakan pada pakaian? Dr Ain Nurfarahana: Setuju.
Dr Ain Nurfarahana berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes bunuh membabitkan pegawai polis di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE