fbpx

Maritim Malaysia kekang penyeludupan vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zawawi (kanan) menerima cenderahati daripada Counsellor ABF, Australian High Commission, Superintendent Brooke Leung pada Majlis Penutup Operasi Redback 19, hari ini. FOTO oleh AFIQ RAZALI

KLANG – Penguatkuasan jenayah rentas sempadan akan terus diperketatkan termasuk penyeludupan kontraban berkaitan vape.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, perkara itu lumrah kepada sindiket penyeludupan terhadap sebarang tindakan dilakukan kerajaan seperti rokok sebelum ini.

“Sekarang vape pula akan masuk lalui jalan laut apabila vape tidak boleh dijual berleluasa, benda itu akan menjadi penyeludupan.

“Kalau perasaan seluruh negara, rokok bersepah. Bukan pakai kecil-kecil (bot) sebaliknya kontena iaitu kapal-kapal besar. Itu modus operandinya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Operasi Redback 19 di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni ketika menjawab soalan di Sidang Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan bersedia untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape di negara ini sekiranya mendapat sokongan semua pihak.

Mohd. Zawawi memaklumkan modus operandi penyeludupan kontraban sering bertukar-tukar bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

“Dahulu, masa bertugas di bahagian radar, bot penyeludup akan mengikut dan duduk di sebelah kapal dagang. Jadi radar tidak akan dapat kesan.

“Namun, sekarang berubah kepada bot pemancing dengan terapung (berada) dalam dua atau tiga jam, kita leka, mereka masuk,” katanya.

Beliau menjelaskan, Maritim Malaysia mencatatkan sejumlah 14 tangkapan melibatkan kes penyeludupan barangan kontraban iaitu rokok, dadah dan ketum dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM1 juta bagi tahun ini.

Mengulas mengenai Operasi Redback 19 bersama Australian Border Force (ABF), Mohd. Zawawi memaklumkan ia melibatkan penguatkuasaan sehingga 118 batu nautika kawasan perairan dari Sabak Bernam hingga Kuala Sepang.

“Sebanyak 60 pemeriksaan dijalankan terhadap semua jenis kapal di perairan negara.

“Daripada jumlah itu, satu tangkapan dilakukan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan di bawah lima batu nautika,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI