GUA MUSANG – Mangsa banjir yang tinggal di Kampung Limau Kasturi, di sini bimbang sekiranya bencana banjir gelombang kedua melanda kawasan mereka.
Penduduk ketika ini masih dalam dilema untuk mengemas pakaian mereka yang dibungkus di dalam plastik dan barangan diletak di atas rumah rakit kerana bimbang banjir berulang.
Seorang penduduk, Azizah Othman, 60, berkata, dia sudah pulang ke rumah tiga hari lalu selepas tiga hari berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi.
“Kami penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Galas bimbang kejadian banjir luar jangka.
“Rumah saya telah dibersihkan, namun barangan seperti peralatan elektronik masih diletak atas rumah rakit yang diletakkan di belakang rumah,” katanya.
Menurut Rahmah Jaafar, 66, pula, dia juga bimbang dengan kejadian banjir berulang kerana rumahnya berada di kawasan rendah dan kerap dilanda banjir.
“Kami bimbang sekiranya berlaku hujan lebat dalam tempoh beberapa hari yang boleh menyebabkan peningkatan mendadak paras sungai hingga melimpahi jambatan dan jalan.
“Saya masih belum mengemas pakaian yang dibungkus dalam plastik kerana bimbang bah kembali dan merosakkan pelbagai lagi barangan rumah,” katanya.
Di Kota Bharu, Maziah Mamat, 62, berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak mengemas rumah sepenuhnya lagi kerana terbaca amaran gelombang kedua dalam tempoh terdekat.
“Saya kemas barangan penting sahaja dan kebanyakan peralatan termasuk perabot rumah telah rosak akibat ditenggelami banjir sedalam 1.5 meter.
“Meskipun sudah lima hari pulang ke rumah, saya rasa letih untuk mengemas rumah kerana takut banjir berlaku lagi. Saya hanya basuh rumah ala kadar sahaja, barang-barang yang rosak sudah dibuang,” katanya.
Dia akan mengemas rumah sepenuhnya awal tahun depan selepas tamat musim tengkujuh.
Seorang mangsa yang sedang berlindung PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Rantau Panjang, Mohd. Amri Borhan, 41, berkata, dia enggan pulang ke rumah di Kampung Kedai Lama kerana bimbang dengan gelombang kedua.
“Air yang naik hampir ke bumbung rumah kini sudah makin surut. Kami tidak mahu lagi pulang, biar habis semua gelombang banjir, baru balik,” ujarnya.

Di Jitra, penduduk Taman Tabung Haji, Rukiah Mahmud, 69, berkata, dia dan suami, Ku Shariman Ku Hashim, 67, kini dalam proses membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur selepas ditenggelami banjir hingga paras pinggang.
“Saya dan suami tetap akan cuci rumah walau terdapat ramalan berlaku lagi hujan lebat sepanjang tengkujuh ini.
“Cumanya kami tidak akan membeli peralatan baharu bagi menggantikan barangan rosak buat sementara waktu,” katanya. -KOSMO! ONLINE















