JOHOR BAHRU – Graduan yang ghairah mencari pekerjaan di Singapura terdedah kepada sindiket penipuan yang menawarkan gaji lumayan dan tidak masuk akal hingga mangsa kerugian ribuan ringgit.
Ejen mencari kerja Singapura, Ammirul Ewan berkata, sindiket tersebut biasanya akan memberikan tawaran kerja palsu melalui pelbagai cara termasuk di media sosial seperti Facebook, TikTok dan Telegram.
Katanya, ejen palsu akan memuat naik iklan kerja kosong di Singapura dengan pelbagai tawaran menarik.
“Helah yang selalu digunakan adalah dengan menawarkan gaji permulaan yang tidak masuk akal dan lumayan. Kerja tukang cuci dan kilang dapat gaji asas SDG1,600 hingga SGD2,200 (RM5,304-RM7,292).
“Memang tidak masuk akal sebab pada kebiasaannya gaji asas untuk kerja itu sekitar SGD1,000-SGD1,200 (RM3,310-RM3,972) sahaja,” katanya.
Menurut Ammirul, terdapat sindiket yang menawarkan kerja separa profesional dan profesional dengan gaji SGD3,000-SGD7,000 (RM9,900-RM23,211).
Jelasnya, mangsa yang tertarik akan berhubung dengan ejen palsu tersebut melalui aplikasi WhatApps tanpa bertemu secara bersemuka.
“Scammer akan meminta butiran peribadi mangsa dan perlu mengisi borang. Sindiket kemudian akan menghantar e-mel kononnya permohonan kerja dalam proses dan meminta mangsa membayar ‘yuran’ dalam jumlah tertentu,” katanya.
Ammirul memberitahu, ada mangsa yang perlu bayar serendah RM50 dan ada juga yang tertipu sehingga ribuan ringgit.
“Selepas bayaran diterima, ejen palsu akan menghilangkan diri dan gagal dihubungi oleh mangsa,” katanya.
Tambah Ammirul, individu yang menjadi mangsa scammer itu kebiasaannya tidak mempunyai pengetahuan tentang cara-cara untuk memohon kerja di negara jiran.
Katanya, mereka secara semborono menghubungi ejen palsu yang tertera pada iklan di media sosial tanpa menyelidik terlebih dahulu mengenai kesahihan ejen tersebut.
“Sebenarnya ada platform atau laman web untuk pastikan mereka ejen dari Singapura atau sebaliknya,” katanya.
Permohonan kerja di Singapura boleh disemak melalui pautan https://www.mom.gov.sg/eservices/services/employment-agencies-and-personnel-search.














