PETALING JAYA – Seorang wanita terpaksa menanggung penderitaan selama hampir setahun selepas menjalani prosedur memasukkan ‘breast filler’ bagi membesarkan payudaranya di sebuah klinik estetik tidak berdaftar.
Tidak cukup dengan itu, mangsa dikenali sebagai Lin juga terpaksa berhabis ribuan ringgit termasuk ‘terbang’ ke Thailand untuk rawatan sehinggalah sebahagian payudaranya terpaksa dibuang.
Wanita berusia 40-an itu berkata, semuanya bermula selepas dia mendapatkan rawatan daripada sebuah klinik estetik yang mempromosikan prosedur ‘breast filler’ di media sosial.
Jelasnya, dia mula menjalani rawatan pada tahun 2016 sebelum melakukan prosedur tambahan pada tahun-tahun berikutnya semata-mata untuk kelihatan seksi dan menawan.
“Sesiapa sahaja yang melakukan prosedur ini pasti akan ketagih. Mula-mula cucuk muka dan selepas nampak keberkesanannya, cucuk lagi anggota badan yang lain.
“Kemuncaknya adalah untuk membesarkan payudara,” dedahnya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Lin, apa yang membuatkan dia tertarik adalah harga bagi rawatan di klinik estetik tidak berdaftar itu jauh lebih murah berbanding klinik berdaftar.
Katanya, dia membelanjakan kira-kira RM5,000 bagi satu sesi dan harga tersebut juga bergantung kepada berapa banyak ‘filler’ yang dimasukkan ke dalam payudara.
“Klinik estetik ini mempunyai ‘jururawat’ mereka sendiri. Jadi, kita akan rasa yakin dan tidak takut ketika melakukan prosedur kecantikan.
“Bagaimanapun, situasi berubah pada tahun 2021 apabila saya mula mendapat jangkitan teruk di mana tempat yang dicucuk ‘filler’ itu bocor sehingga keluar cecair seperti nanah dan darah,” katanya lagi.
Jelas Lin, dia mengambil masa kira-kira sebulan untuk kembali pulih selepas menjalani rawatan di klinik yang sama ketika membesarkan payudara.
“Tidak lama selepas itu, payudara jadi lebih teruk menyebabkan saya pergi ke sebuah klinik lain dan pihak tersebut menjanjikan payudara saya boleh dikembalikan ke bentuk asal.
“Pihak klinik itu juga memaklumkan bahawa bahan yang digunakan untuk prosedur itu dibeli dari hospital. Selepas melihat pada profil mereka di Instagram, memang ada tunjuk mereka sedang menjalani latihan dan ia membuatkan saya yakin untuk jalani rawatan di situ,” katanya.
Bagaimanapun katanya, selepas prosedur pertama dijalankan, keadaan kesihatannya merudum sehingga dia mengalami demam panas selama tujuh hari.
“Mereka minta saya datang semula untuk menjalani pemeriksaan dan hasilnya, saya tidak mengalami jangkitan dan mula beransur pulih. Selepas tempoh dua minggu, saya datang semula untuk buat rawatan susulan dan mereka maklumkan saya perlu tambah lagi ‘filler’ bagi mendapatkan bentuk payudara yang normal.
“Saya bersetuju, namun rawatan tidak berjalan seperti dirancang. Saya mengalami sesak nafas sehinggalah mereka takut dan terus berhenti memasukkan ‘filler’ tersebut,” ujarnya.
Susulan daripada prosedur itu, Lin mula merasa sakit dan seolah-olah terdapat ketulan di bahagian bawah payudaranya menyebabkan dia menanggung kesakitan yang lama iaitu hampir setahun.
“Mahu pergi hospital, tak akan ada hospital yang terima masalah saya ini menyebabkan saya terpaksa ke Bangkok, Thailand. Malangnya, tiga hospital menolak merawat kes saya kerana risiko untuk meninggal dunia amat tinggi.
“Mereka maklumkan apa yang dimasukkan dalam payudara saya ini bukan ‘filler’ tetapi silikon. Ada hospital di sana maklumkan jika saya jalani rawatan di sana, saya perlu duduk sehingga dua bulan supaya mereka dapat pantau dan hanya boleh balik ke Malaysia jika betul-betul pulih,” katanya.
Lin kemudian pulang semula ke Malaysia dan mendapatkan pemeriksaan di dua buah hospital swasta dan akhirnya terdapat sebuah hospital yang boleh merawat payudaranya dengan kos mencecah RM35,000.
“Keadaan saya ketika itu memang sudah teruk. Doktor beri tarikh pembedahan dan jangkaan mereka prosesnya mengambil masa hingga enam jam.
“Selepas duit mencukupi, saya lalui prosedur itu dan separuh bahagian bawah payudara saya terpaksa dibuang kerana kulit di bahagian itu sudah mati,” ujarnya.
Katanya, apa yang dikesalkan ialah klinik estetik atau spa yang menyebabkan keadaan dirinya menjadi teruk itu masih lagi beroperasi dan mempromosikan rawatan mereka secara berleluasa.















