TAPAH – Akibat kesempitan hidup, pasangan suami isteri, Samad Isa, 65, dan Sadiah Alang, 63, mencari rezeki dengan menyelongkar tong sampah bagi mencari barangan yang boleh dikitar semula di tempat pembuangan sampah di sini dan Kampar.
Bukan tidak mahu bekerja, namun disebabkan faktor usia kudrat mereka tidak segagah dahulu.
Menurut Samad, dia dan isteri mengutip barang-barang yang boleh dijual seperti besi, plastik, minuman bertin, paip polivinil klorida (PVC) yang ada nilai kepada pembeli barangan kitar semula.
“Rezeki yang diraih tidak menentu, malah ada harinya tiada langsung,” kata Samad kepada Kosmo! di sini kelmarin.
Katanya, hasil jualan barangan kitar semula itu tidak menentu, namun agak menyedihkan kerana tidak pernah melebihi RM200 sebulan.
“Tengah-tengah menyelongkar itu bersama isteri, jika ada pakaian kami basuh dan gunakan semula, manakala sisa makanan pula diberikan kepada beberapa ekor ayam yang dibela di rumah di Kampung Batu Berangkai, Kampar.
“Mujur isteri saya ada rumah hasil peninggalan keluarga, jika tidak kami tidak tahu untuk menetap di mana kerana hendak membayar sewa tidak mampu,” katanya.
Samad pernah bekerja sebagai pekerja kontrak sebelum ini, namun insiden beberapa kali pergelangan kakinya patah semasa bekerja membataskan pergerakan.
Kedua-dua mereka tidak dikurniakan zuriat sepanjang perkahwinan mereka.
Kata Samad, mereka hanya mendapat bantuan Baitulmal Perak sebanyak RM300 dan sekampit beras sebulan.
“Secara logiknya memang tidak cukup, cuma kami kena ikat perut dan memastikan bil utili dapat dijelaskan setiap bulan.
“Tanah pun tiada untuk diusahakan, jadi mencari sampah inilah sumber rezeki utama kami,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Sadiah di 08215-41-00007895-2 atau menghubunginya di talian 019-452 4179.














