Selepas mencipta nama sebagai pencipta kandungan atau ‘content creator’, gadis kelahiran Ampang, Selangor, Iman Irdina kini memberi tumpuan kepada iklan berbayar setiap kali mempromosikan produk.
Graduan peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pentadbiran perniagaan dan pemasaran dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu juga kini aktif mengasah bakat dalam dunia jualan melalui latihan industri.
Dalam tempoh lima tahun dari sekarang, Iman, 23, atau lebih mesra dikenali sebagai Dina bercita-cita tinggi untuk memiliki perniagaan sendiri bagi menjamin masa depannya.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis yang gemar mengumpul pelbagai jenis kristal berkongsi tentang dirinya.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan tentang diri anda?
Dina: Saya graduan ijazah sarjana muda UniKL dalam bidang pentadbiran perniagaan dan pemasaran. Ketika ini saya sedang menjalani latihan industri di sebuah syarikat jualan.
Apakah kerjaya anda sekarang?
Saya kini menceburi bidang pencipta kandungan dengan fokus kepada iklan berbayar yang mampu memberi pulangan lumayan. Saya minat bidang ini sebab berhubung dengan ramai orang.
Siapakah idola anda dalam bidang ini?
Dina amat mengagumi Bella Hadid sebagai idola dalam dunia pencipta kandungan terutamanya pendirian Bella dalam isu Palestin untuk membela nasib penduduk yang tertindas.
Bagaimana Dina mengawal kesihatan mental?
Tekanan semasa belajar bukanlah perkara asing, saya akan bertemu rakan-rakan ketika sedih dan berkongsi masalah dengan keluarga untuk mengekalkan kesihatan mental.
Apakah diet yang diamalkan untuk kelihatan cantik?
Saya mengamalkan 10,000 langkah setiap hari dan mengambil air kosong dengan kerap selain menjaga pemakanan.
Apakah perancangan masa depan?
Lima tahun dari sekarang, saya mahu membuka perniagaan servis pilates yang berfokus kepada kesihatan wanita. Saya juga mahu menguasai bahasa Mandarin dan Jepun kerana bahasa ini penting untuk lebih maju dalam dunia bisnes.
Bagaimana cara anda mengurus kewangan?
Menetapkan had perbelanjaan dan disiplin diri agar tidak mudah tergoda dengan self-reward. Saya percaya sikap berhati-hati dalam berbelanja penting untuk menjamin kestabilan kewangan.
Hobi pada masa lapang?
Dina lebih suka duduk di rumah untuk berjimat. Hobi saya mengumpul kristal sejak 2021. Saya mempunyai pelbagai koleksi kristal, dengan harga antara RM10 sehingga RM2,000.
Ciri-ciri lelaki idaman pilihan anda?
Dina suka lelaki matang, penyabar dan penyayang. Dina lebih menyukai lelaki lebih tua dan rajin bekerja. Saya berharap dapat berkahwin pada usia 28 tahun.
Pesanan ibu bapa yang paling diingati?
Menjaga solat dan membaca selawat terutama sebelum tidur bersama bacaan ayat Kursi. Pesanan ini masih dipraktikkan walaupun saya sudah dewasa.














