fbpx
Sebanyak 28 bayi yang diselamatkan OrphanCare pada tahun ini adalah menerusi baby hatch.

640 bayi terselamat daripada terbiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kisah pembuangan bayi kawasan belukar, tepi jalan dan tandas awam meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat mengenai nasib malang yang menimpa zuriat tidak berdosa ini.

Namun, usaha murni sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) OrphanCare Foundation yang memperjuangkan hak setiap kanak-kanak ‘tidak diingini’ itu berjaya menyelamatkan ratusan nyawa bayi yang baharu dilahirkan sejak ditubuhkan 16 tahun lalu.

Untuk tahun ini sahaja, yayasan berkenaan berjaya menyelamatkan 80 bayi, sekali gus memecahkan rekod jumlah tertinggi sejak penubuhannya.

Pengurus Besar OrphanCare, Zakiah A. Rahman berkata, sepanjang ditubuhkan pada 2008, pihaknya menerima sebanyak 640 bayi, menunjukkan keperluan berte­rusan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan khususnya dalam membantu ibu-ibu muda menghadapi situa­si yang sukar.

“Sehingga November tahun ini, kami menerima 45 bayi pe­rempuan dan 35 bayi lelaki. Angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lepas, di mana sebanyak 55 bayi telah diselamatkan di Orphancare.” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Zakiah turut menambah, daripada 80 bayi yang diselamatkan tahun ini, seramai 28 bayi telah ditempatkan di dalam baby hatch OrphanCare.

Baby hatch ini menyediakan tempat selamat untuk bayi yang ditinggalkan secara rahsia tanpa abaikan keselamatan mereka.

“Selebihnya adalah kes ibu-ibu muda datang sendiri ke OrphanCare untuk mendapatkan bantuan.

“Ada yang ingin menjaga anak mereka sendiri tetapi memerlukan sokongan, manakala ada juga yang sejak awal memilih untuk menyerahkan anak mereka kepada keluarga angkat,” jelasnya.

Menurut Zakiah, peningkatan penerimaan bayi di OrphanCare tahun ini banyak dipengaruhi oleh kejayaan usaha advokasi yang dijalankan oleh mereka.

Katanya, ini termasuklah kempen kesedaran mengenai alternatif yang selamat untuk ibu-ibu muda yang menghadapi kehamilan tidak dirancang, sekali gus mendorong lebih ramai mendapatkan bantuan daripada organi­sasi tersebut.

“Peningkatan jumlah bayi yang diselamatkan tahun ini menunjukkan kejayaan usaha advokasi dan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menyelamatkan nyawa bayi.

“Daripada 80 bayi yang di­selamatkan, 50 telah diambil oleh pasangan ibu bapa angkat untuk dibesarkan dalam keluarga baru, manakala 30 lagi kekal dalam jagaan keluarga asal mereka. Terdapat juga 19 pasangan ibu bapa angkat yang masih menunggu giliran untuk mendapatkan anak angkat,” katanya.

Tambahnya, OrphanCare turut menjalankan khidmat reintegrasi untuk menyatukan se­mula kanak-kanak dari institusi ke dalam penjagaan keluarga asal.

Program Deinstitusionalisasi ini melibatkan kerjasama antara OrphanCare dengan Rumah Kanak-Kanak (RKK).

“Di OrphanCare, kami memahami cabaran yang dihadapi oleh keluarga, terutamanya yang sedang melalui perceraian atau kesulitan kewangan.

“Oleh itu, kami menyediakan sokongan seperti yuran persekolahan dan kelengkapan asas untuk memastikan kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran yang stabil, selamat dan penuh kasih sayang,” ujar Zakiah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN