fbpx
Pelajar sekolah menggunakan sampan berulang-alik dari Sungai Golok ke Rantau Panjang setiap hari.

‘Suami, anak orang Malaysia tapi rumah kami di Golok’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Pangkalan haram Pohon Jambu di sini menjadi pilihan pelajar sekolah warganegara Malaysia yang menetap di Thailand untuk ke sekolah di daerah ini sejak puluhan tahun lalu.

Seorang ibu yang mahu dikenali Rogayah, 42, berkata, seorang anaknya bersekolah di Malaysia iaitu di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang yang terletak kira-kira 2 kilometer dari pangkalan haram Pohon Jambu kerana remaja itu merupakan warganegara Malaysia.

Katanya, seorang lagi anaknya bersekolah di Sungai Golok kerana lahir di Thailand.

“Suami saya orang Malaysia, tetapi menetap di Sungai Golok bersama waris daripada keluarga saya.

“Kami tiada rumah di Malaysia dan kami lebih selesa tinggal di Thailand. Cuma anak yang perlu berulang-alik setiap pagi untuk bersekolah di Rantau Panjang,” katanya.

Menurutnya, laluan yang lebih cepat untuk ke sekolah adalah melalui pangkalan haram Pohon Jambu di sini dengan menyeberangi Sungai Golok.

Menurutnya, pangkalan haram itu menjadi laluan utama murid dan pelajar sekolah yang mempunyai kerakyatan Malaysia, namun tinggal di Sungai Golok.

“Sejujurnya, anak saya tidak pernah melalui jalan sah iaitu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang kerana jaraknya jauh.

“Pintu sempadan di buka pada pukul 7 pagi dan perlu menjalani prosedur Jabatan Imigresen untuk melepasi sempadan. Jadi, pelajar akan lambat ke sekolah,” ujarnya.

Pelajar menaiki bot di pangkalan haram Pohon Jambu untuk pulang ke rumah mereka di Sungai Golok, Thailand selepas sesi persekolahan di Rantau Panjang semalam.

Seorang pelajar SMK Rantau Panjang yang dikenali Siti Alisya, 16, berkata, selepas ayahnya meninggal dunia dia bersama ibunya pulang ke Thailand.

“Ayah orang Malaysia dan ibu orang Thailand. Saya pula warganegara Malaysia. Jadi, saya perlu bersekolah di Rantau Panjang walaupun menetap di Thailand,” katanya.

Seorang penduduk yang mahu dikenali Mat Deris, 58, berkata, dianggarkan lebih 100 orang pelajar berulang-alik menyeberangi Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang yang melalui pangkalan haram Pohon Jambu hampir setiap hari.

“Tambang bot untuk pelajar menyeberang Sungai Golok hanya RM1 manakala orang awam pula RM3.

“Sekiranya pangkalan haram ini ditutup pada 1 Disember ini, ia akan menjejaskan persekolahan pelajar yang mempunyai kewarganegaraan Malaysia yang menetap di Thailand,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN