fbpx
Malaysia berada pada kedudukan kedua terburuk di dunia berkaitan work life balance daripada 60 negara. - Gambar hiasan

Bekerja berjam-jam tidak semestinya produktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMALAN keseimbangan hidup dan kerja (work life balance) yang sihat adalah penting untuk kesejahteraan dan kejayaan jangka panjang.

Ini supaya kita mempunyai masa yang mencukupi untuk kedua-duanya dan tidak tertekan. Kajian terbaharu sebuah syarikat sumber manusia pada Jun lalu mendedahkan Malaysia berada pada kedudukan kedua terburuk di dunia berkaitan work life balance daripada 60 negara yang mengambil bahagian.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr. Jalihah Md. Shah berkata, dalam dunia yang serba pantas hari ini, mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi menjadi semakin mencabar.

Menurutnya, kita perlu memahami bahawa mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan yang sihat bukan sekadar mencari kemewahan, tetapi satu keperluan untuk kesejahteraan hidup.

“Bayangkan sekiranya anda bergelut dengan tanggungjawab kerja tanpa mempunyai masa untuk berehat atau tuntutan hal peribadi. Dari masa ke masa, ia boleh menyebabkan tekanan yang melampau dan juga keletihan.

“Salah satu keperluan keseimbangan kerja dan kehidupan adalah untuk memberi anda peluang melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh menenangkan minda dan memberi kepuasan kepada diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Jalihah memberitahu, apa jua aktiviti seperti meluangkan masa bersama dengan orang tersayang, melakukan hobi, bercuti atau sekadar mengambil masa untuk bernafas, detik-detik ‘rehat’ tersebut mampu menyuburkan minda dan jiwa.

“Hasilnya, manusia itu sendiri akan menjadi lebih berdaya tahan, bersedia menangani cabaran dan mencapai kebahagiaan dan kepuasan yang lebih besar,” katanya.

Jelas Jalihah, apabila kita mengutamakan kerja daripada segala-galanya, hubungan peribadi juga boleh terjejas.

“Mengabaikan orang yang anda sayang boleh menyebabkan rasa kesunyian dan terasing.

“Sebaliknya, jadual kehidupan kerja yang seimbang membolehkan anda melaburkan masa dan tenaga untuk membina dan mengekalkan hubungan sosial yang kukuh,” ujarnya.

Pandangan itu turut disokong pempengaruh popular, Mek Yun yang menyifatkan bekerja terlalu lama sehingga berjam-jam lamanya dan ‘membunuh’ masa peribadi tidak semestinya menjadikan seseorang itu lebih produktif.

Malah, terlalu banyak bekerja boleh menyebabkan penurunan fokus dan kreativiti yang akhirnya menghalang prestasi kerja hakiki.

“Bagi saya, dengan membenarkan diri berehat, anda akan kembali dengan tenaga dan inspirasi yang diperbaharui.

“Melibatkan diri dalam hobi dan aktiviti masa lapang akan merangsang minda, memupuk kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah dengan bijak,” ujarnya.

Mek Yun tidak menafikan dia sibuk dengan kerja hakiki, namun bijak ‘mencuri’ masa bercuti dan melakukan aktiviti bersama keluarga tercinta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN