SEMALAM bermulalah episod baharu bagi para peminat kelab gergasi bola sepak England, Manchester United (MU).
Kelab berkenaan dijangka membuat rombakan besar selepas pengurus baharu iaitu Ruben Amorim, 39, dibawa masuk dari kelab Portugal, Sporting Lisbon.
Pengurus yang mempunyai rekod cemerlang mengemudi Sporting memenangi Liga Portugal sebanyak dua kali itu bakal memulakan tugasnya secara rasmi pada hari ini di Old Trafford.
Sebelum itu, pihak pengurusan tertinggi The Red Devils telah bertindak memecat pengurus pasukan, Erik Ten Hag pada awal bulan ini ekoran prestasi hambar MU selepas sembilan perlawanan.
Kedatangan Amorim sangat dinanti-nantikan oleh para peminat MU memandangkan beliau dikatakan mempunyai kemampuan mengemudi kelab itu ke landasan kejayaan seperti ketika era Sir Alex Ferguson (SAF).
Dalam keghairan tersebut, terdapat juga bibit-bibit kebimbangan Amorim bakal mengikut jejak langkah beberapa pengurus MU lain sebelum ini yang dipecat kerana gagal memenuhi harapan diletakan oleh penyokong.
Antaranya pengurus yang pernah gagal di MU ialah David Moyes, Ole Gunnar Solskjaer, Jose Mourinho dan Louis van Gaal. Justeru, penulis ingin menyenaraikan tiga ‘dosa besar’ yang tidak boleh dilakukan oleh Amorim di MU bagi mengelak beliau dipecat pada masa depan.
Perkara pertama yang perlu dielakkan oleh Amorim adalah membeli pemain berharga mahal yang gagal.
Kita dapati selepas era SAF, beberapa pengurus pasukan secara rakus membeli pemain-pemain besar dengan harga mahal seperti Alexis Sanchez, Angel di Maria, Paul Pogba, Jadon Sancho dan Harry Maguire.
Malangnya, kesemua pemain yang dibeli itu gagal memenuhi potensi diharapkan, sebaliknya menjadi beban kepada pasukan. Ini kerana, kelab terpaksa membayar gaji besar pada setiap
minggu, biarpun bermain teruk.
Selain itu, Amorim perlu mengelak daripada bertindak terlalu tegas kepada pemain. Sebagai pengurus di sebuah kelab besar, beliau sepatutnya lebih bertolak ansur dengan para pemain yang memiliki ego tinggi jika ada sebarang masalah.
Amorim perlu mengambil iktibar daripada kesilapan dilakukan Ten Hag sebelum ini yang bertindak menghukum beberapa pemain tidak sealiran dengannya seperti Cristiano Ronaldo,
Sancho dan David De Gea. Akhir sekali, Amorim harus memastikan MU tidak kalah besar dengan kelab ‘rival’ seperti Liverpool dan Manchester City.
Beberapa pengurus sebelum ini bukan saja kalah dengan pasukan rival, sebaliknya tewas dengan jurang besar. MU pernah dimalukan Liverpool dengan gol besar, 7-0 dan 5-0.
Kekakalah dengan jurang terlalu besar ini pastinya akan meninggalkan kesan yang panjang kepada peminat dan sentiasa diingati oleh pihak pengurusan tertinggi kelab. Ini akan menjadi modal oleh penyokong untuk memaksa pengurus dipecat.
Justeru itu, penulis sangat berharap Amorim dapat melakukan tugasnya dengan baik di MU, sekali gus menjadikan pasukan tersebut kembali digeruni di England dan Eropah.
Penulis juga tidak mahu lagi melihat MU terus membuat ‘lawak’ sehingga dihina dan dicaci oleh para penyokong pasukan lain pada setiap hujung minggu.














