fbpx
Siti Zauyah melihat barangan rumah yang rosak akibat banjir lumpur di Felda Kechau 1, Lipis.

‘Mak cik nampak air berpusar laju, mujur cepat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Insiden banjir lumpur yang melanda Felda Kechau 1, di sini malam kelmarin disifatkan paling buruk pernah berlaku di tanah rancangan berkenaan dalam tempoh 38 tahun.

Seorang warga emas, Siti Zauyah Zaini, 70, berkata, dia mendiami tanah rancangan itu sejak 1986 dan pernah beberapa kali berhadapan dengan banjir, namun tidak seteruk kali ini.

Menurutnya, ekoran kejadian yang mengejutkan itu dia tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan bara­ngan berharga berikutan air ­banjir naik terlalu cepat.

“Semasa kejadian saya baru selesai solat isyak dan berehat di ruang tamu, tiba-tiba cucu panggil dari arah dapur memaklumkan air masuk ke dalam rumah.

“Masa itu saya tidak fikir panjang, capai tangan cucu terus bawa keluar. Saya tengok sendiri air di depan rumah berpusing laju, mujur cepat kalau tidak tidak tahu apa jadi pada kami,” katanya di sini semalam.

Seorang pemilik bengkel ken­deraan, Mohamad Rathuah Jamin, 33, pula berkata, dia me­ngalami kerugian besar apabila bengkel yang diusahakannya sejak 2013 mengalami kerosakan teruk akibat banjir.

“Ketika kejadian saya berada di Lipis. Sekitar pukul 9 malam bapa menelefon saya membe­ritahu air naik di bengkel yang terletak bersebelahan rumah keluarga.

“Saya bergegas balik dan apabila sampai, saya terkejut melihat air sudah melepasi permukaan jalan. Air naik cepat hingga menenggelamkan kenderaan rosak yang diparkir,” katanya.

Sementara itu Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, seramai 460 mangsa daripada 132 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Raub dan Lipis akibat kejadian banjir.

“Di Raub terdapat enam PPS yang menempatkan 230 mangsa daripada 68 keluarga, manakala di Lipis dua PPS dibuka awal pagi semalam yang menempatkan seramai 230 mangsa daripada 64 keluarga,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN