fbpx
Gambar hiasan

Lima punca berlaku kes buli di IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA 24 JULAI lalu, enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang sebelum ini dijel 18 tahun kerana menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan.

Dalam kejadian pada 21 dan 22 Mei 2017, Zulfarhan ditekap dengan seterika wap selain dipukul sekumpulan pelajar selepas dituduh mencuri komputer riba. Zulfarhan meninggal dunia pada 1 Jun 2017.

Kes itu mendapat liputan meluas kerana perbuatan tersebut disifatkan kejam hingga meragut nyawa insan tidak berdosa.

Namun begitu, insiden tujuh tahun lalu bagai tidak meninggalkan kesan apabila bulan lalu seorang pegawai kadet berusia 20 tahun di universiti sama ditekap seterika selepas diminta menggosok baju kerja senior.

Pada 8 November lalu, seorang Pegawai Kadet UPNM didakwa di mahkamah.

Dalam kes terbaharu mangsa segera melaporkan kejadian itu kepada kepada pihak berwajib sekali gus mengelakkan insiden kehilangan nyawa di universiti sama berulang.

Persoalannya, adakah kes buli ekstrem ini sudah sebati dalam kalangan pelajar institusi pendidikan? Apakah punca sehingga berlakunya kes buli?

Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani menggariskan beberapa punca berlakunya kejadian buli.

“Pertama adalah kurangnya didikan dan pemantauan ibu bapa terhadap anak. Mereka beranggapan anak itu mampu menguruskan kehidupan di kampus dengan baik.

“Keyakinan dan kepercayaan ini membuatkan si anak melakukan salah laku tanpa rasa empati,” katanya.

Menurut beliau, punca kedua adalah perbezaan idea tentang satu-satu perkara yang boleh menimbulkan perbalahan.

Katanya, terdapat kemungkinan si junior menolak permintaan pegawai dengan cara ‘keras’ sehingga menimbulkan amarah dan seterusnya bertindak luar kawalan.

“Kebanyakan kes buli yang berlaku, si pelaku biasanya dikaitkan dengan kurangnya penghayatan agama atau moral.

“Mereka yang berusia 18 hingga 25 tahun boleh dikatakan masih belum ‘matang’ dalam membuat keputusan, jika tersilap langkah mereka akan melakukan perkara negatif,” katanya.

Siti Fatimah berkata, kurangnya pemantauan daripada pihak pengurusan juga antara faktor boleh berlakunya kes buli.

Sikap lepas tangan selain mahu menjaga nama baik institusi dengan mengambil tindakan ‘menyenyapkan’ sesuatu kes turut dikesan menjadi punca si pembuli menjadi keras kepala.

Beliau turut berpendapat bahawa beberapa solusi atau langkah penyelesaian yang boleh diambil bagi mengatasi kes buli daripada terus menghantui masyarakat.

Antaranya ialah kesedaran bahaya buli perlu dipergiatkan secara menyeluruh di semua peringkat supaya mangsa lebih berani dan tampil ke hadapan bagi memupuk pemahaman.

“Apabila orang dapat melihat perbezaan dalam sesebuah idea, mereka lebih cenderung untuk bertoleransi dan hormat pendapat orang lain.

“Selain itu, tindakan tegas perlu diambil di pelbagai peringkat terutamanya bermula dari rumah, sekolah sehingga ke pusat pengajian tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, kempen kesedaran, publisiti dan hebahan menerusi media sosial sama ada dalam talian atau media cetak berhubung buli perlu dipertingkatkan.

“Selain itu, hubungan strategik antara Polis Diraja Malaysia dengan institusi pendidikan dan program kerjasama secara berkala dan sistematik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN